PENAMPANG: Jalan Penampang-Tambunan, kini boleh dilalui selepas runtuhan dan aliran lumpur yang berlaku berhampiran Kampung Togudon, Penampang, dibersihkan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah memaklumkan, bagaimanapun jalan menghubungkan Kota Kinabalu – Keningau – Tenom itu hanya dibuka satu lorong kepada kenderaan.
“Satu lorong jalan telah dibuka untuk dilalui sementara kerja-kerja pembersihan masih dilaksanakan,” katanya.
Terdahulu, laluan berkenaan dilaporkan tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan berikutan cerun runtuh dan aliran lumpur di lokasi berhampiran Kampung Togudon, Penampang, kira-kira 4 petang semalam.
Difahamkan, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengambil tindakan awal termasuk melakukan pembersihan permukaan jalan dan memasang papan tanda pelan pengurusan trafik (TMP). – Utusan Borneo