Jalan Ke SK Pangaraan Hampir Siap

anugerah-kontraktor.jpg

Arthur (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah kepada wakil dari ZBN Ground Holdings Sdn Bhd.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata jalan menuju ke SK Pangaraan di Nabawan, Keningau akan siap dalam tmasa terdekat.

Arthur memberitahu pemberita bahawa beliau telah diberi jaminan daripada pejabat daerah yang bertanggungjawab ke atas kawasan itu bahawa kerja-kerja di jalan menuju ke sekolah dari Keningau sedang berjalan dan ia hampir selesai dengan hanya dua hingga tiga kilometer lagi untuk disiapkan.

“Pada 15hb, saya akan pergi ke sana untuk melihat (keadaan)…jalan itu kini boleh dilalui,” katanya pada sidang media selepas melancarkan seminar pendaftaran kontraktor dan penyerahan anugerah khas untuk kontraktor dan pengilang bagi tahun 2021 pada Khamis.

Jelasnya, kawasan itu pernah dilanda banjir luar biasa beberapa bulan lalu yang menyebabkan jalan ke SK Pangaraan tidak dapat dilalui.

Banjir luar biasa itu turut memusnahkan lima jambatan menuju ke sekolah itu, katanya.

Dalam pada itu Arthur turut memberitahu projek lebuh raya 1A Pan Borneo yang mengandungi 19 pakej kesemuanya untuk Sabah.

Katanya, keutamaan akan diberikan kepada kontraktor tempatan untuk melaksanakan projek kerajaan seperti lebuh raya Pan Borneo.

Namun begitu, beliau menegaskan kontraktor mestilah berkelayakan untuk melaksanakan projek itu sebagaimana ianya untuk rakyat.

Ketika ditanya bila projek itu akan dilaksanakan, beliau berkata mesyuarat itu masih berjalan.

Beliau turut memberikan jawapan yang sama apabila ditanya sama ada tender telah diberikan kepada mana-mana kontraktor.

Dalam ucapannya, Arthur berkongsi keyakinannya terhadap pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara, Kalimantan.

“Saya melihat prospek pembangunan di Sabah dan Sarawak akan menjadi rancak dalam jangka pertengahan dan panjang berikutan peralihan ibu negara Indonesia ke Nusantara, Kalimantan.

“Selaras dengan keperluan industri pada masa hadapan, saya berharap kontraktor sentiasa peka dan bersedia untuk menyesuaikan diri dengan teknologi terkini dalam industri pembinaan,” katanya.

Katanya, kontraktor perlu meningkatkan penggunaan teknologi dalam industri pembinaan, seiring dengan perubahan zaman.

“Antara contoh aplikasi teknologi pembinaan ialah Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), teknologi Sistem Binaan Perindustrian, pencetak 3D, dron dan Internet of Things (IOT),” katanya.

Beliau turut menyeru kontraktor yang hadir mendaftar kursus yang ditawarkan CIDB Malaysia yang membawa ilmu dalam teknologi terkini dalam industri pembinaan.

Penerima anugerah ialah ZBN Ground Holdings Sdn Bhd yang memenangi anugerah khas kontraktor cemerlang Sabah, Zafran Enterprise yang memenangi anugerah khas Kontraktor Cemerlang Sabah (MCORE), Menang Tinggi Sdn Bhd yang memenangi anugerah khas QLASSIC Sabah, Grand Dynamic Builders Sdn. Bhd yang memenangi anugerah SHASSIC Sabah, Leppo Concrete Sdn Bhd kerana memenangi anugerah RMC Sabah, dan KTI Sdn Bhd kerana memenangi anugerah Kontraktor kategori perumahan Sabah IBS Score.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top