Jalan Berungis Tuaran Akan Dinaik Taraf Kepada Dua Laluan

hajiji-jalan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Masalah kesesakan di Jalan Berungis Tuaran akan dapat diatasi apabila jalan itu dinaik taraf menjadi dua laluan tidak lama lagi.

Projek naik taraf berkenaan membabitkan kos sebanyak RM15 juta, melibatkan jalan sepanjang 4.09 kilometer (km) dari bulatan Berungis sehingga persimpangan Marabahai Spur.

Ia akan dilaksanakan di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dijangka bermula tahun depan dan siap dalam tempoh 36 bulan.

Pelaksanaan projek berkenaan diminta oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor memandangkan laluan itu terletak di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman.

Hari ini Hajiji menyaksikan Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Dasar dan Pembangunan Kementerian Kerja Raya Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman menyerahkan surat projek kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah Datuk Mohd Jasmin Julpin dalam satu majlis di sini.

Pada majlis sama, beliau turut menyaksikan penyerahan Projek Loji Rawatan Air di Tanjung Labian Lahad Datu yang berjumlah RM18.3 juta kepada kerajaan negeri.

Timbalan Pengarah Perkhidmatan Korporat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Mahadzir Mustaffa menyerahkan projek berkenaan kepada Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Edward Likapo.

Loji rawatan air berkenaan membabitkan kapasiti empat juta liter sehari yang akan memanfaatkan seramai kira-kira 800 keluarga dari enam perkampungan di Lahad Datu.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong dan Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top