KENINGAU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) disyor memperkenalkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Pendidikan Islam bagi golongan orang kurang upaya (OKU) meliputi pendengaran, penglihatan, pertuturan dan autisme.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad ketika mencadangkan perkara itu berkata, ia selaras usaha JAKIM yang telah melancarkan aplikasi Glosari Islam (I-Sign) untuk OKU pendengaran.
“Justeru, kejayaan itu perlu disusuli dengan menyediakan tenaga pengajar mahir bagi memenuhi keperluan pendidikan Islam untuk komuniti OKU. Ini adalah tanggungjawab kita untuk memenuhi keperluan fardu kifayah,” katanya ketika berucap merasmikan Istiadat Konvokesyen Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Kali Keenam, di sini, pada Sabtu.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah, Datuk Saifulzaman Sangul.
Istiadat konvokesyen kali ini meraikan seramai 244 graduan membabitkan 83 graduan Diploma Dakwah Islamiyyah, Sijil Pengajian Islam (23) dan Sijil Asas Pengajian Islam Malaysia (138). IPDAS telah melahirkan seramai 15,526 graduan sejak 1979 hingga kini.
Seterusnya, Idris turut mencadangkan IPDAS menjalin kerjasama dengan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu sebagai rakan industri bagi melaksanakan program berkenaan memandangkan masjid itu telah membuktikan kejayaan mengendalikan pendidikan Islam kepada anak-anak OKU sejak 2015.
Selain itu, Idris berharap IPDAS tidak hanya memfokus kepada pendidikan di dalam bilik kuliah, sebaliknya aktiviti atau program pengajian sepanjang hayat juga perlu dikembangkan selaras kehendak pihak berkepentingan dalam menyantuni pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau berkata, kemudahan Pembelajaran Jarak Jauh Dalam Talian dan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) wajar dimanfaatkan bagi membuka ruang seramai mungkin pelajar dewasa mengikuti pendidikan Islam tahap tinggi.
“Tambahan pula, Kerajaan Sabah telah memperkenalkan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Halal Hab, maka ada keperluan signifikan untuk IPDAS berperanan melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang halal bagi melengkapkan ekosistem itu,” katanya.
Beliau berkata, IPDAS perlu bergerak seiring gagasan Sabah Maju Jaya diperkenalkan kerajaan negeri yang antara lain menekankan aspek pembangunan modal insan dan ekonomi.
Sementara itu, Idris berkata, pembangunan infrastruktur IPDAS melalui projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang telah diluluskan adalah bukti kerajaan amat serius mengangkat agenda pendidikan agama.
Malah, katanya, beliau berkeyakinan projek dijadualkan bermula pada awal tahun depan itu akan berjalan lancar melalui pengurusan berintegriti yang bakal mengukuhkan lagi IPDAS sebagai PPT JAKIM di persada negara. – BERNAMA