Jainab Letak Jawatan ALP UMS, Tetapi Kekal Sokong GRS

Datuk-Jainab.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU : Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Dr Jainab Ahmad Ayid meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Keputusan itu dibuat susulan tindakan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi dalam kerajaan Persekutuan.

“Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada Mantan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad kerana melantik saya menjadi Ahli Lembaga Pengarah UMS.

“Selain itu saya ingin merakamkan penghargaan  kepada Naib Canselor UMS serta seluruh warga kerja UMS kerana telah memberikan kerjasama yang sangat baik sepanjang saya berkhidmat sebagai ALP UMS,”, ujar beliau lagi.

Berbalik kepada autonomi Umno Sabah pula, Jainab menyokong dan menghormati keputusan rakyat pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) yang mahukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerintah di Sabah.

“Seperti dinyatakan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin baru-baru ini yang menyatakan pendirian UMNO Sabah untuk terus menyokong Kerajaan GRS.

“Dengan itu, lantikan di peringkat negeri tidak akan berubah dan apa yang penting sekarang kita perlu fokus tentang bagaimana kita boleh terus membantu rakyat yang sedang terhimpit dengan PKP dan pandemik Covid-19.

” Matlamat kita kini ialah membantu kerajaan mempergiat kempen imunisasi agar imuniti kelompok masyarakat dapat segera dicapai,” katanya.

Terdahulu,Ahli Majlis Tertinggi Umno Malaysia Datuk Seri Rahman Dahlan turut meletakkan jawatan sebagai Pengerusi ALP-UMS pada 7 Ogos lalu yang kemudiannya diikuti oleh Ketua Pemuda Umno Sabah Abdul Aziz Julkarnain yang meletakkan jawatan GLC sebagai Pengarah Boustead Plantation.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top