Jahid Saran Peserta Kursus Tanam Cendawan Kongsi Ilmu Kemahiran

jahid.png
Kongsi Bersama

TAMPARULI: Peserta Kursus Penanaman, Penjagaan Dan Perniagaan Cendawan anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah disaran untuk berkongsi ilmu kemahiran yang dipelajari dengan masyarakat yang lain seterusnya mengembangkan peluang perniagaan dalam bidang tersebut.

Menterinya, Datuk Jahid Jahim berkata, para peserta perlu berusaha mencari peluang untuk meningkatkan kemahiran asas yang telah diperolehi dan memanfaatkan bengkel yang disertai.

Selain itu, katanya, kerjasama pihak Pejabat Daerah juga sangat diperlukan untuk memantau keadaan semasa bengkel dan pelaksanaan aktiviti yang diadakan agar sentiasa aktif beroperasi.

“Sepanjang kursus ini berlangsung, para peserta didedahkan dengan kaedah penjagaan dan penyimpanan bongkah cendawan yang ekonomikal, mengenali jenis penyakit dan perosak cendawan, kemudian para peserta juga diberi tunjuk ajar berkaitan asas pembuatan bongkah dan penyuntikan benih cendawan,”.

“Manakala lawatan ke bengkel pembuatan bongkah cendawan yang telah diadakan pada hari kedua disertai dengan demonstrasi masakan berasaskan cendawan sebelum latihan amali diadakan, selain memperkenalkan produk hiliran dan potensi pemasaran cendawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pembuatan Bongkah Cendawan Dan Majlis Penutupan Kursus Penanaman, Penjagaan Dan Perniagaan Cendawan anjuran KPLB Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Kecil Tamparuli di Nurfirdaus Mushroom Village, Kampung Rongolis.

Turut hadir Setiausaha Tetap KPLBS, Puan Norlijah Danin, Timbalan Setiausaha Tetap KPLBS, Norsafi Hj Dukah, Ketua Penolong Setiausaha (KPSU) Keusahawanan Industri Desa KPLBS, Cornelia Gregory Kolopis Han, Pegawai Daerah Tuaran, Syahrin Samsir, Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging, dan mantan Setiausaha Tetap KPLBS, Datuk Hj Faimin Kamin.

Dalam pada itu, Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli berkata, selaras dengan aspirasi Kementerian untuk membantu memperbaiki serta meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar di Sabah, pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan dengan memperluaskan jangkauan perkhidmatan yang lebih berkesan dan sepadan dengan norma serta kehendak masyarakat luar bandar.

“Pembinaan bengkel ini juga berfungsi untuk menjadi pusat pengeluaran bongkah cendawan untuk daerah Tamparuli dan daerah berhampiran.

“Secara tidak langsung, hasil pembinaan bengkel ini membuka ruang dan peluang pekerjaan khususnya dalam perniagaan cendawan kepada penduduk sekitar daerah ini dan mengelakkan penghijrahan generasi muda ke kawasan bandar.

Selain itu, katanya, kawasan tersebut juga berpotensi besar untuk menjadi lokasi eko-pelancongan dengan kehadiran para pelancong ke daerah ini, di samping mewujudkan peluang perniagaan yang berdaya saing dalam kalangan penduduk.

Beliau juga berharap para pegawai kanan KPLBS berusaha mencari apa sahaja jenis perusahaan yang boleh mendatangkan hasil bagi membantu mengeluarkan rakyat golongan miskin tegar dan miskin daripada garis kemiskinan.

Selepas perasmian kursus dan merasmikan bangunan bengkel, Jahid turut berpeluang melawat ke sekitar kawasan pembuatan bongkah Cendawan Tiram dan Kodop, sambil diberikan penerangan oleh pengusaha bengkel, Jaffrin Singkod dan Chelsea Drew Balanting.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top