Jahid Saran Generasi Muda Jiwai Semangat Kemasyarakatan

jahid.jpg
Kongsi Bersama

TAMPARULI: Generasi muda disaran agar terus menjiwai semangat kemasyarakatan dan kesukarelawanan sebagai role model kepada belia yang lain.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, golongan belia perlu menitik beratkan penerapan nilai-nilai murni dalam diri untuk melahirkan golongan belia yang cemerlang sebagai sumber inspirasi anak-anak muda lain.

“Bukan hanya meliputi kecemerlangan dari segi material semata-mata tetapi melibatkan aspek rohani dan jasmani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penghargaan dan Jasamu Dikenang BSMM Daerah Tuaran di MJ Corner Berungis Tuaran, pada Ahad.

Turut hadir Pengerusi BSMM Negeri Sabah, Datuk Asnan Yunus Chung, dan Pengerusi BSMM Daerah Tuaran, Junaidy Azamain.

Katanya, kekuatan sesebuah NGO memberikan fokus dalam mencapai objektif seperti menyediakan peluang pendidikan dan kemahiran, memperkasa ekonomi, mengawal dan mengurus penyakit, membantu mangsa bencana alam, memperjuangkan isu berkaitan hak kemanusiaan, sosial, ekonomi, politik, budaya dan sebagainya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi BSMM Daerah Tuaran yang baharu, Junaidy Azamain yang akan meneruskan kepimpinan persatuan tersebut di peringkat daerah.

“Tahniah juga kepada Setiausaha BSMM Daerah Tuaran, Kevin Lo, atas kejayaan beliau memenangi Anugerah Perdana Belia Negeri Sabah, menerusi Kementerian Belia Dan Sukan Sabah, baru-baru ini.

Menurut Jahid, pengalaman selama 26 tahun sebagai Pengerusi BSMM Daerah Tuaran dan NGO, banyak membawa pengalaman dan kenangan manis semasa berkhidmat dalam aktiviti kesukarelaan.

Menurut beliau, pemimpin yang baik adalah pemimpin yang boleh melahirkan pemimpin pewaris, yang dapat berkhidmat kepada masyarakat dengan penuh keikhlasan dan keinsafan.

“Kepada kepimpinan baharu, jagalah integriti, kredibiliti, kekalkan kreativiti, dan peliharalah nama BSMM Daerah Tuaran agar sentiasa menjadi contoh kepada badan-badan NGO, selain terus bekerjasama dengan ibu pejabat BSMM,” katanya.

Terdahulu, Junaidy, mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberi bagi menerajui kepimpinan BSMM Daerah Tuaran, dan seterusnya menghargai kesudian Jahid untuk menjadi Penasihat kepada BSMM Daerah Tuaran.

Pada majlis itu, Jahid turut menyampaikan mock cheque sumbangan sejumlah RM25,000 bagi membiayai pengurusan naik taraf bangunan BSMM Daerah Tuaran, dan RM2,000 bagi pengurusan pentadbiran persatuan. – Jesselton Times


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top