KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, telah menerima kunjungan hormat daripada Exco Pembangunan Luar Bandar Negeri Kedah, Dato’ Hajjah Ustazah Siti Ashah Binti Haji Ghazali, bersama rombongan delegasi dari negeri Kedah, di Bilik Mesyuarat Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB) Sabah, semalam.
Pertemuan mesra tersebut antara lainnya adalah bagi membincangkan pelbagai agenda termasuk melibatkan pembangunan negeri masing-masing.
Menurut Jahid, pertemuan sedemikain merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan antara kementerian kedua-dua negeri, dan membuka ruang untuk saling bekerjasama.
Selain itu, katanya, ia turut memberi peluang untuk bertukar-tukar maklumat mengenai dasar, inisiatif, dan cabaran yang dihadapi oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar di negeri masing-masing.
“Pertukaran ini membolehkan kedua-dua pihak memahami konteks tempatan, mengenal pasti peluang kerjasama, dan berkongsi amalan terbaik dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar,” kata Jahid.
Siti Ashah yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan dan Pembangunan Insan Negeri Kedah, bersama rombongan delegasi dari Kedah, mengucapkan terima kasih kepada Jahid, Pembantu Menteri dan kakitangan KPLB Sabah kerana sudi menerima kehadiran mereka, di samping layanan baik sepanjang lawatan tersebut.
Hadir bersama Siti Ashah ialah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, YB Mardhiyyah Johari, dan Pegawai Khas Wanita Kepada Menteri Besar Kedah, Norhafiza Fadzil.
Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Samad Jambri, dan Dato’ Sri Dr. Ruddy Awah, serta kakitangan KPLB Sabah, diketuai Setiausaha Tetap II, Norsafi Hj Dukah. – Jesselton Times