Jahid Harap Data Maklumat Lengkap Vaksinasi Penduduk Tamparuli Disegerakan

jahid.jpg
Kongsi Bersama

TAMPARULI: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berharap proses pengumpulan maklumat bagi penduduk di kawasan Tamparuli yang sudah dan belum divaksin dapat disegerakan.

Beliau yang juga merupakan Adun Tamparuli, meminta semua pemimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk memberikan maklumat tersebut kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli dengan kadar yang segera.

Jahid memaklumkan perkara ini ketika melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan Tun Hamdan Tamparuli, dekat sini hari ini.

“Syabas dan terima kasih kepada badan JPKK yang telah menghantar laporan kepada pihak UPPM, semoga laporan-laporan JPKK yang lain akan menyusul kemudian,” katanya.

Beliau hadir bagi meninjau perkembangan proses vaksinasi secara ‘walk-in’ yang dianjurkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang diadakan sejak 23 Ogos lalu di Dewan Tun Hamdan.

Program tersebut menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk yang berumur 18 tahun ke atas menerima suntikan vaksin.

Ketibaan Jahid dan rombongan disambut Ketua PPV, Dr. Rosfina Ghazali serta para petugas di dewan berkenaan.

Sepanjang lawatan, Jahid turut menghargai usaha para petugas barisan hadapan serta sukarelawan yang terlibat sepanjang proses vaksinasi tersebut.

Turut hadir Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak, dan Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, kakitangan UPPM Tamparuli, serta pemimpin masyarakat lain.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top