Jaga Hubungan Baik Polis Dan Masyarakat – Hazani

hazani-penampang.jpg
Kongsi Bersama

PENAMPANG: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah digesa supaya selalu ‘menjaga tepi kain’ orang sekeliling dalam usaha mendekatkan diri dengan masyarakat setempat.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, perkara itu sepatutnya diambil dari aspek positif selaras dengan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ bagi menjaga hubungan baik antara kedua-duanya.

Katanya, hubungan baik dengan orang awam adalah salah satu cara untuk membanteras jenayah daripada berlaku.

“Seperti juga lagu ‘Benci Tapi Rindu’. Kita mahu membuang perkataan benci dan menguatkan rasa rindu. Jadi masyarakat lebih dekat dengan pasukan polis.

“Ia bukan saja menimbulkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat, tetapi juga sebagai saluran maklumat daripada masyarakat kepada polis berhubung sebarang kegiatan jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Lawatan Kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam IPK Sabah, Asisten Komisioner Polis, Khalid Saion dan Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Menurutnya, polis juga digesa untuk sentiasa berhemah apabila berhadapan dengan karenah pelbagai lapisan masyarakat bagi memberikan imej yang positif.

Sementara itu, Datuk Hazani yang bakal memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman berkuatkuasa 6 September depan berkata, Negeri Sabah sentiasa dekat dihatinya.

Katanya, sepanjang bertugas selama hampir 17 tahun di Sabah, dia amat mengenali dan memahami setiap perincian yang ada di negeri ini.

“Walaupun akan bertugas di Bukit Aman, saya akan tetap balik ke negeri ini untuk membantu pasukan polis semampu yang boleh,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top