KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar mahu hukuman setimpal dikenakan terhadap individu yang bertanggungjawab atas kematian gajah Pygmy Borneo yang ditemui dalam keadaan anggota badan terpisah dan kulitnya dilapah di ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Imbak, Tongod, Rabu lalu.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin ketika dihubungi mengatakan jika siasatan kematian gajah itu menyebabkan kes jenayah, maka tindakan tegas harus diambil.
Jelasnya, kementerian komited untuk memelihara dan memulihara bukan sahaja hidupan liar tetapi juga alam sekitar di Sabah.

Jafry
Namun ada segelintir individu tidak bertanggungjawab yang tidak dapat melihat tujuan di sebalik kesungguhan kerajaan memelihara spesies yang dilindungi untuk generasi akan datang.
“Kita tidak mahu hidupan liar ini hanya berbentuk gambar atau dalam bentuk cerita sahaja. Generasi kita hari ini mesti meninggalkan warisan yang baik untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau menambah kata bahawa kementerian akan sentiasa berusaha untuk menyelaraskan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 untuk membendung pembunuhan spesies haiwan yang dilindungi di Sabah.
Katanya, kerja pemantauan oleh mereka yang bertanggungjawab juga masih perlu diperbaiki dan mengakui bahawa terdapat kekangan dalam kerja pemantauan kerana kekurangan staf.
Namun, Jafry yakin masalah itu dapat diselesaikan dan pemantauan dapat dilaksanakan dengan lebih baik untuk memastikan kejadian seperti itu tidak berulang.
Dalam kejadian pada Rabu lalu, seekor Gajah Pygmy Borneo ditemui reput dengan luka tembakan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Kg Imbak, Tongod.
Menurut pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga, gajah itu dipercayai mati sekurang-kurangnya empat atau lima hari sebelum ditemui.
Berdasarkan hasil bedah siasat, dipercayai gajah itu terkena tujuh tembakan dengan empat peluru di kepala.
Sebilangan besar kulit gajah juga dilapah dan sebahagian anggota badannya seperti kaki dan telinga ditemui sekitar enam hingga 32 meter dari badannya.
Beberapa anggota badan gajah, termasuk kepala dan gading, dijumpai, kecuali belalainya.
Sehingga kini, sukar untuk mengenal pasti motif membunuh haiwan yang dilindungi itu tetapi siasatan tetap diteruskan.
Untuk rekod, ini adalah kejadian pertama yang melibatkan kulit haiwan yang berkaitan.
Laporan polis dibuat pada hari yang sama oleh pengurus di ladang tersebut.
Namun, belum ada tangkapan dilakukan.
Sumber: Borneo Post