Jadual SPM Melanggar Prinsip Rukun Negara – UPKO

madius.png

KOTA KINABALU: Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyemak dan menukar tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, yang diumumkan pada 17 November lalu.

Katanya, penyediaan jadual ini tidak selaras dengan prinsip Rukun Negara, malah tidak sensitif kepada sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Mengikut jadual yang dikeluarkan KPM, peperiksaan SPM akan bermula pada 3 Mac hingga 20 Mac 2022. Apa yang menarik perhatian saya, ada mata pelajaran yang jatuh pada hari Jumaat dan Ahad.

“Seperti yang kita sedia maklum, hari Jumaat adalah hari untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat.

“Sementara itu, Ahad adalah hari untuk penganut Kristian di Malaysia seperti Roman Katolik, Anglikan, Basel, dan lain-lain pergi ke gereja.

“Dan terdapat juga penganut Kristian seperti Seventh-Day Adventist (SDA) yang pergi ke gereja pada hari Sabtu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Justeru, katanya jadual peperiksaan SPM yang disediakan KPM melanggar kandungan pertama dan utama prinsip Rukun Negara iaitu prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan.

Sebagai sebuah negara yang berlandaskan prinsip Rukun Negara sebagai tonggak Perlembagaan, Madius berkata isu ini tidak sepatutnya berlaku.

Beliau berkata jadual peperiksaan tidak sepatutnya jatuh pada tarikh di mana rakyat Malaysia menunaikan kewajipan mereka terhadap kepercayaan mereka.

“Justeru, saya ingin menggesa kerajaan membatalkan dan meminda tarikh peperiksaan SPM terutamanya yang jatuh pada hari Jumaat dan Ahad (termasuk Sabtu) kepada tarikh yang tidak relevan untuk mana-mana rakyat Malaysia menunaikan kewajipan mengikut kepercayaan masing-masing.

“Jika tidak, ia bukan sahaja melanggar prinsip Rukun Negara yang kita sanjungi, malah ia juga bertentangan dengan idea Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.”

Selain itu, Ahli Parlimen Tuaran itu berkata tarikh jadual peperiksaan juga perlu diselaraskan semula berikutan kebimbangan terhadap kebajikan guru, seperti dinyatakan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).

Beliau berkata KPM harus menjiwai guru yang setia memberikan perkhidmatan terbaik dalam mendidik pelajar sekolah.

“Beri mereka ruang untuk berehat pada hujung minggu.

“Guru bukan robot, dan mereka memerlukan rehat dan masa untuk urusan keluarga.”

Selain itu, katanya pelajar SPM juga boleh mengambil masa untuk bertenang sepanjang hujung minggu sebelum terus fokus menjawab peperiksaan pada keesokan harinya.

“Memandangkan tujuan utama penubuhannya adalah untuk mewujudkan perpaduan yang kukuh di kalangan rakyat dan menjadikannya identiti rakyat Malaysia, marilah kita sama-sama menghayati Prinsip Rukun Negara secara menyeluruh, telus dan sepenuh hati,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top