KOTA KINABALU: Sambutan perayaan yang diraikan pelbagai kaum khususnya di negeri ini mampu menjadi wadah untuk masyarakat saling mengenali dan memahami budaya kaum lain yang ada di Sabah.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, kesempatan menyambut Tahun Baru Cina seharusnya digunakan bagi memupuk perasaan muhibah dan persaudaraan, tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
“Justeru, gunakanlah kesempatan yang ada untuk mengetepikan segala perselisihan ideologi politik yang memudaratkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri CNY Walkabout anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) di Jalan Gaya, di sini semalam.
Katanya, mencampur adukkan unsur-unsur politik dengan budaya dan perayaan hanya akan memecah belahkan masyarakat.
“Politik melampau dan sempit dikhuatiri akan berterusan sekiranya ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan modal ini bagi meraih perhatian dan keuntungan politik semata-mata.
“Sokongan tanpa mengira kaum, memeriahkan program sambutan perayaan yang dianjurkan seperti Tahun Baharu Cina dapat mengukuhkan ikatan silaturrahim secara semulajadi antara warga Sabah yang berbeza latar belakang agama dan budaya, mahu pun ideologi politik,” katanya.
Menurutnya, perpaduan itu penting dan adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat negara ini untuk berusaha mengekalkannya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, sambutan-sambutan perayaan kini terpaksa diadakan dalam keadaan norma baharu di samping bilangan orang terlibat juga dihadkan bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19.
“Namun paling penting adalah semangat perpaduan paling penting agar hubungan kekeluargaan masyarakat pelbagai kaum dan agama dikekalkan,” katanya.