Jadikan ‘IC’ Sabah Satu Realiti

PATI.jpg

KOTA KINABALU: Seorang bekas pembantu menteri berkata sudah tiba masa kerajaan negeri Sabah  serta persekutuan mencari cara memperkenalkan kad pengenalan (IC) Sabah khusus untuk penduduk tempatan.

Kenny Chua (gambar bawah,kanan), dari Parti Solidariti Tanahairku (STAR), yang merupakan komponen Pakatan Nasional (PN)  berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa tiada kompromi dalam tindakan yang akan diambil terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Chua, yang juga bekas Adun Inanam berkata, dokumen itu dapat menjadi penyelesaian berkesan bukan saja bagi masalah PATI di negeri itu, malah isu lebih serius lagi iaitu melibatkan dokumen palsu.

“Sudah tiba masanya kerajaan secara serius mempertimbangkan untuk memperkenalkan IC Sabah khusus untuk penduduk tempatan,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Hamzah terdahulu berkata, kementeriannya dan kerajaan Sabah memutuskan untuk mengambil tindakan lebih tegas dan tidak lagi akan berkompromi apabila melibatkan PATI di negeri itu.

Tambahnya, ini termasuk mengusir mereka dari Sabah, seperti dilakukan kepada lebih 600,000 pendatang Filipina dan Indonesia sejak 1990 hingga kini.

Chua sebelum ini pernah membuat gesaan yang sama untuk IC Sabah, seperti juga pemimpin lain di negeri itu, dengan menganggapnya kaedah terbaik mengekang sebarang usaha di masa depan untuk mengeluarkan dokumen – sama ada palsu atau sebaliknya – kepada PATI.

“Saya percaya rakyat Sabah sudah penat mendengar mengenai isu dokumen palsu ini.

“Lebih teruk lagi, dokumen asal yang jatuh ke tangan pihak yang salah. Sudah tiba masanya kita melaksanakan penyelesaian dan menghentikan masalah ini untuk selamanya,” katanya.

Tambahnya, Presiden STAR Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan yang kini timbalan ketua menteri Sabah, secara konsisten menyuarakan mengenai perlunya penyelesaian bagi masalah berkenaan sepanjang kerjaya politiknya.

“Baguslah beliau kini dalam kerajaan supaya akhirnya kita boleh memikirkan penyelesaian praktikal untuk menyelesaikan isu ini.”

Sementara itu, Chua turut mencadangkan kerajaan negeri mengira jumlah pendatang tanpa izin dan yang mempunyai dokumen sah di Sabah.

“Memang sukar untuk melakukannya, namun saya kira ia perlu dibuat. Melainkan kita ada data berkenaan, kita tidak akan tahu siapa dan di mana lokasi mereka,” katanya.

 

Berita ini disiarkan pada Rabu, 10 Mac 2021

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top