Jabatan Perkhidmatan Veterinar Labuan lulus 247 ternakan untuk ibadah korban

Korban.jpg

Gambar hiasan

LABUAN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Labuan meluluskan 247 ternakan untuk ibadah korban bersempena dengan Aidiladha di pulau bebas cukai itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Labuan Dr Larry David berkata kebanyakan ternakan itu diperoleh dari Sabah, manakala selebihnya dibekalkan oleh Ladang Sittha di sini.

“Ternakan yang diluluskan untuk ibadah korban antaranya ialah 130 ekor lembu dan 94 ekor kambing,” katanya kepada Bernama.

David berkata kelulusan itu dikeluarkan lebih awal sebelum sambutan Aidiladha bagi memastikan ibadah korban berjalan lancar, manakala permit diberikan untuk melakukan korban di luar rumah penyembelihan termasuk masjid dan kawasan perumahan.

“Kami memastikan semua permit ibadah korban dikeluarkan seminggu sebelum perayaan untuk membolehkan persiapan dilakukan.

“Semua pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah menetapkan peraturan ketat yang mesti dipatuhi semua penganjur,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa masjid mendapati ibadah korban dijalankan dengan lancar dengan penyertaan masyarakat setempat, dan daging korban juga diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abd Rahman berkata ibadah korban di Labuan mengekalkan tradisi sambil mematuhi garis panduan ditetapkan.- BERNAMA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top