Jabatan Perikanan Labuan tangani kerosakan jambatan di Pulau Rusukan Besar

pulau-rusukan-besar.jpg

Kredit: Labuan Rusukan Besar Resort/BERNAMA

Kongsi Bersama

JABATAN Perikanan Labuan sedang berusaha menangani isu kerosakan jambatan di Pulau Rusukan Besar yang berlarutan, bagi meningkatkan potensi pelancongan pulau berkenaan.

Jambatan terbabit yang tidak boleh digunakan sejak lebih dua tahun lepas merupakan laluan penting ke destinasi pelancongan popular di sini.

Pengarah Jabatan Perikanan Labuan Faizal Ibrahim Suhaili berkata sesi libat urus telah dijalankan tahun lepas bersama agensi kerajaan bagi membincangkan mengenai pembinaan jambatan baharu.

“Kita juga telah mengadakan libat urus bersama pihak berkuasa tempatan termasuk Perbadanan Labuan berkaitan hal ini.

“Mengambil kita kepentingan pelancongan di pulau ini, maka pembaikan atau pembinaan jambatan amat penting,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Faizal Ibrahim berdasarkan penelitian, terdapat beberapa kekangan perlu ditangani sebelum mendapatkan pembiayaan daripada kerajaan pusat.

Beliau berkata tanah bagi pembinaan jambatan terbabit adalah milik Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PPTG) Labuan.

“Kita telah menyerahkan surat kepada pihak PPTG, memohon pemindahan hak milik tanah kepada Jabatan Perikanan. Langkah ini penting untuk membolehkan kita memperoleh pembiayaan bagi pembinaan jambatan berkenaan,” katanya.

Pulau Rusukan Besar juga menjadi pusat konservasi penyu yang diuruskan oleh Jabatan Perikanan Labuan.

Sementara itu, Pengarah Labuan Rusukan Besar Resort Jeffrey Lee berkata kerosakan jambatan menyebabkan pelancong terpaksa menggunakan tangga kayu untuk naik dan turun dari bot.

“Kami berharap pihak kerajaan dapat mempercepat pembinaan jambatan itu bagi meningkatkan imej pelancongan Labuan. Kemudahan yang memuaskan amat penting bagi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke Labuan,” katanya menambah pusat peranginan itu menyediakan lima chalet untuk pelancong bermalam. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top