KOTA KINABALU: Jabatan Perhutanan Sabah merampas pelbagai hasil hutan bernilai RM3.1 juta yang diambil secara haram dari hutan negeri ini sepanjang tahun lalu.
Pengarahnya, Frederick Kugan, berkata dalam tempoh itu juga, 68 orang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti menyalahi undang-undang dikuatkuasakan jabatan itu atau Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS).
Katanya, individu terbabit diserahkan kepada polis dan JHLS untuk tindakan lanjut, termasuk dua suspek yang ditahan dan didakwa kerana memiliki gading gajah di Tawau pada Januari tahun lalu.
Rampasan dan penahanan individu terbabit dilakukan menerusi lebih 200 operasi penguatkuasaan undang-undang yang dikendalikan Pasukan Khas Jabatan Perhutanan Sabah (PROTECT).
“Sebanyak 68 tangkapan dilakukan dan diserah kepada polis serta JHLS, termasuk dua suspek kes memiliki gading gajah di Tawau. Pasukan ini juga merampas kira-kira RM3.1 juta hasil hutan yang diambil secara haram,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Sementara itu, rakan projek Jabatan Perhutanan Sabah, iaitu Pengarah Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) Kinabatangan, Dr Benoit Goossens, berkata cabaran melawan pemburuan haram dan perdagangan hidupan liar tidak mampu diatasi dalam masa yang singkat.
“Ia memerlukan sumber yang besar bagi membolehkan kehadiran secara intensif atau risikan di lapangan oleh badan penguat kuasa seperti Jabatan Perhutanan Sabah, JHLS, polis dan lain-lain agensi,” katanya. –bharian