Jabatan Air Digesa Segera Tangani Isu Air Di Sipitang

pemuda-sipitang.jpg

Sani (kiri) semasa meninjau lokasi paip yang pecah dipercayai akibat kerja-kerja pembinaan lebuh raya Pan Borneo di Jalan Pantai Sipitang.

Kongsi Bersama

SIPITANG: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sipitang menggesa Jabatan Air Sabah (JANS) segera menangani masalah air di Sipitang.

Ketuanya  Sani Miasin berkata, JANS perlu segera mengambil tindakan pro-aktif menyelesaikan masalah air di Sipitang dan Sindumin yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Beliau berkata, masalah gangguan bekalan air merupakan salah satu masalah utama yang sering dihadapi oleh penduduk kampung dalam kawasan parlimen Sipitang.

“Hampir setiap hari Pemuda UMNO Sipitang menerima aduan daripada penduduk kampung berhubung masalah ketiadaan bekalan air. Terdapat kampung yang menghadapi masalah itu sehingga berminggu-minggu.

“Keadaan bertambah buruk apabila kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo menyebabkan saluran paip pecah, kelewatan mengalihkan saluran paip daripada jajaran jalan raya, masalah tekanan dan kerosakan pam di logi-logi air,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Sani mengulas laporan yang tular di media sosial berhubung lebih 300 penduduk di Sipitang terjejas akibat saluran paip pecah yang dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan lebuh raya Pan Borneo di kawasan berkenaan.

Penduduk dari beberapa kampung di daerah ini terpaksa berhimpun di Jalan Pantai Sindumin, pada Isnin bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan berhubung masalah air yang dihadapi mereka sejak dua minggu lalu.

Mereka menuntut agar paip yang rosak dibaiki segera supaya bekalan air dapat disalurkan kepada rumah penduduk yang terjejas.

Sani berkata, masalah bekalan air menyukarkan penduduk kampung ditambah pula umat Islam sedang memasuki bulan Ramadan.

“Disebabkan tiada air, penduduk terpaksa bergantung kepada tadahan air hujan serta atas inisiatif sendiri membeli air bersih di Pekan Sipitang untuk kegunaan seharian.

“JANS dan pihak berkenaan perlu bertindak pro-aktif menghantar bantuan air menggunakan lori tangki ke lokasi yang sering berlaku gangguan bekalan air, lebih-lebih lagi pada musim Ramadan ini,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top