KOTA KINABALU: Penyerang import Sabah, Josip Ivancic menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan 2-2 pada minit akhir permainan ketika menentang Sri Pahang FC di Stadium Likas, malam ini.
Gol kedua dijaringkan Ivancic pada minit ke-94 itu hanya seminit selepas Pahang mendahului 2-1 hasil rembatan Abdul Malik Mat Ariff sekali gus menyebabkan pelawat berputih mata untuk membawa pulang tiga mata.
Bagaimanapun, Sabah FC gagal lagi dalam usahanya untuk mengutip tiga mata di laman sendiri selepas kecewa tewas di saat akhir ketika bertemu PJ City FC, Sabtu lalu.
Lebih menyakitkan, gol pertama Pahang `dihadiahkan’ penjaga gol Sabah, Robson Rendy Rining berikutan kesilapannya gagal menepis keluar bola ditendang pemain Sri Pahang, Muhammad Baqiuddin Shamsudin pada minit ke-66.
Gol itu membolehkan pelawat menyamakan kedudukan selepas Ivancic meletakkan Sabah di depan pada minit ke-57 hasil lorongan Amri Yahya.
Separuh masa pertama menyaksikan Sabah FC kelihatan kurang bertenaga kerana tidak banyak percubaan menarik dilakukan, begitu juga pelawat yang lebih banyak bertahan sebelum empat gol terhasil pada babak kedua.