KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri menjelaskan tempoh 14 hari yang ditetapkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada kerajaan untuk memulakan sidang Parlimen adalah cadangan Biro Politik dan bukannya keputusan yang ditetapkan melalui mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.
Ismail Sabri berkata, hingga kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bertanggungjawab membuat sebarang keputusan belum membincangkan lagi perkara itu termasuk tindakan yang diambil parti jika Parlimen tidak dibuka dalam tempoh berkenaan.
“Itu pandangan Biro Politik UMNO bukannya MKT…yang boleh memutuskan dasar adalah MKT dan Biro Politik hanya mencadangkan.
“Ini hanya cadangan daripada UMNO, tetapi MKT lah akan memutuskan, …cadangan UMNO supaya 14 hari diadakan sidang tetapi soalnya kalau tidak diadakan sidang, apa tindakan itu tidak dibincang,” katanya pada sidang media, hari ini.
Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, di pihak UMNO tiada sebarang percanggahan bahawa parti bersetuju supaya parlimen dibuka selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah.
Beliau berkata demikian bagi mengulas hasil mesyuarat Biro Politik UMNO kelmarin yang membuat keputusan akan menarik diri daripada kerajaan sekiranya persidangan Parlimen tidak dipanggil oleh Perdana Menteri dalam masa 14 hari. –BH Online