‘Itu Fitnah Jahat!’, Ismail Sabri Sangkal Terbabit ‘Langkah London’

ismail-sabri-n-famili.jpg

Gambar yang dikongsi Ismail Sabri di Instagram ketika meluangkan masa bercuti bersama keluarga di UAE.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan tuduhan beliau antara dua naib presiden Umno terbabit dalam usaha menjatuhkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelang perhimpunan agung parti itu minggu depan.

Katanya, beliau bercuti dengan keluarganya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 22 Dis hingga 3 Jan lalu, tarikh yang didakwa beliau menemui beberapa pemimpin politik di London.

Menurut FMT, Ismail Sabri membuat penjelasan itu susulan dakwaan seorang penulis blog yang tular media sosial bahawa dua naib presiden Umno mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin di London untuk menjatuhkan Zahid sebagai presiden Umno.

Menurut dakwaan itu, gerakan yang dinamakan “Langkah London” bertujuan menjatuhkan Zahid dalam usaha menggulingkan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Anwar Ibrahim.

Ismail menyifatkan tuduhan yang mengaitkan beliau dengan gerakan seperti itu sebagai fitnah yang sengaja dicipta untuk memburukkan namanya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya. Ini merupakan fitnah jahat.

“Saya berdiam diri selepas PRU15 sehingga kini, tiada kenyataan mengenai Umno, tiada kenyataan mengenai kerajaan. Tujuan saya berdiam diri supaya tiada spekulasi dan fitnah mengaitkan saya.

“Tapi pemfitnah yang tidak mengenal dosa ini masih terus mengaitkan saya, sebab itu saya menganggap ini merupakan fitnah berniat jahat,” kata bekas perdana menteri itu ketika dihubungi FMT melalui WhatsApp.

November lalu, Ismail menafikan dakwaan pertemuan tertutup membabitkan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan PAS diadakan di Tropicana Golf & Country Resort.

Ismail dilaporkan berkata, semua tindakannya disalah tafsir sehingga dirinya dianggap pengkhianat jika bertemu rakan daripada PAS, manakala pihak yang bertemu pimpinan Pakatan Harapan pula dianggap hero.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top