KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal meletak harapan yang tinggi agar sokongan yang diterima daripada masyarakat Cina di sekitar bandaraya ini mampu diterjemah di atas kertas undi.
Beliau berkata, berdasarkan kunjungan ke gerai-gerai di Pasar Foh Sang pada Sabtu, bahasa isyarat tubuh cukup jelas bahawa kehadirannya menerima sambutan yang baik kepada masyarakat Cina.
Katanya, melalui perbualan ringkas dengan komuniti Cina yang berada di situ, kebanyakan mereka melahirkan kebimbangan tentang pelbagai isu termasuk kenaikan harga barangan.
“Mereka bercerita tentang bebanan yang dialami sekarang dan mereka lahirkan sokongan kepada saya untuk terus perjuangkan suara rakyat di negara ini.
“Jadi, saya harap sokongan ini boleh diterjemahkan kepada undi. Jika sokongan kita terima kuat maka, kita akan menjadi kuat,” katanya.
Mengenai kadar inflasi negara, Mohd Shafie berkata, kerajaan tidak boleh bergantung kepada data semata-mata kerana apa yang berlaku di peringkat bawah, rakyat akar umbi berhadapan tekanan kehidupan yang cukup membimbangkan.
Pada masa ini, ada rakyat yang tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk membeli barangan.
Namun, data diperoleh dengan mengambil pandangan sebahagian penduduk secara rawak dan bukannya dilakukan secara menyeluruh. Malah, ada yang bergantung kepada ehsan keluarga terdekat.
Budaya ini tidak harus berlaku di negara ini kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang cukup kaya dengan sumber seperti kepala sawit.
Tambahnya, subsidi boleh diberikan namun, secara bersasar dan bukan menyeluruh bagi membolehkan peruntukan kewangan untuk subsidi itu digunakan bagi sektor lain yang boleh menjana peluang pekerjaan bagi mengatasi masalah pengangguran. – Borneo Today