KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah untuk menggunakan peruntukan sedia ada bagi menampung kos penyertaan pasukan pasukan bola sepak Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sabah dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2023.
Perkara itu dimaklumkan Menterinya, Fadhlina Sidek dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
“Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan setiap pemimpin komuniti yang sama-sama membantu mencari jalan penyelesaian.
“KPM sentiasa berusaha untuk memastikan penglibatan menyeluruh semua murid institusi pendidikan bawah KPM dalam sukan dan kegiatan kokurikulum yang dapat menggilap bakat dan membentuk kemahiran insaniah,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Sebelum ini, tular seorang guru di Sabah meluahkan kekecewaan selepas pasukan bola sepak Keningau bawah 18 tahun (B-18) yang menjuarai kejohanan MSS Sabah baru-baru ini, tidak dihantar ke Kejohanan MSSM yang diadakan di Johor.
Guru itu mendakwa, skuad kendaliannya itu tidak dapat ‘diterbangkan’ ke Johor susulan masalah kewangan.
Terdahulu, Fadhlina berkata, kementeriannya sentiasa cakna mengenai isu yang ditularkan dalam media sosial itu.
Jelas beliau, kementerian juga sudah menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk penganjuran sukan dan aktiviti kokurikulum di setiap peringkat bagi menjamin kemenjadian murid yang menyeluruh termasuk dalam sukan.
“Peruntukan juga diberi kepada setiap jabatan pendidikan negeri bagi memastikan aktiviti sukan dan kokurikulum dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.