Isu Rekrut Pengikut Waris Sulu: MHO Buat Laporan Polis

Jerry-Jaimeh.jpg

Jerry Jaimeh

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) semalam membuat laporan polis berhubung gerakan merekrut rakyat Sabah untuk menyokong waris Kesultanan Sulu.

Menurut Utusan Malaysia, laporan yang dibuat di Balai Polis Karamunsing itu bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat tentang dakwaan mengenai gerakan yang didakwa berlaku di Lahad Datu.

Penyelaras MHO Sabah, Jerry Jaimeh berkata, perbuatan merekrut rakyat tempatan di Lahad Datu untuk menyatakan taat setia kepada Kesultanan Sulu itu perlu disiasat kerana perbuatan itu jelas menunjukkan satu kesalahan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri Sabah.

Beliau berkata, tindakan itu akan mencemarkan kedaulatan negara dan juga Sabah.

“Taat setia kepada anasir asing dan sejarah hitam Kesultanan Sulu yang melancarkan serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong perlu dibendung terutama apabila dokumen-dokumen identiti diri mendakwa keturunan Sulu.

“Individu warga tempatan yang berikrar taat setia kepada keturunan Sultan Sulu jelas melakukan kesalahan di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan pihak yang melancarkan serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa untuk segera menyiasat dokumen pengikut waris Sultan Sulu bagi membendung tragedi serangan pengganas Sulu di Lahad Datu.

Kelmarin, Setiausaha MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, waris Kesultanan Sulu sedang aktif merekrut rakyat Sabah untuk menyatakan sokongan terhadap Kesultanan Sulu.

Menurut beliau, modus operandi yang digunakan adalah memberikan dokumen pengenalan diri bagi menyatakan perakuan taat setia kepada Kesultanan Sulu yang disebarkan melalui hantaran WhatsApp.

Tambahnya, MHO mengecam segala usaha dan tindakan oleh mana-mana pihak yang merekrut kumpulan bagi menyokong Kesultanan Sulu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top