Isu ‘Penjajahan Putrajaya’: Ketua Pemuda PBS Pertahan Kenyataan Ongkili

christopher-mandut.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda PBS Christoper Mandut, mempertahankan kenyataan presidennya, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili berhubung isu ‘penjajahan Putrajaya’ yang timbul pada sidang Dewan Rakyat, kelmarin.

Katanya, ketika Ongkili membangkitkan isu berkenaan, beliau percaya yang Ahli Parlimen Kota Marudu itu telah bercakap melalui pengalamannya bagi mengelak penggunaan pendekatan konfrontasi untuk berbincang perihal berkaitan pembangunan Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, kelantangan Ongkili, yang mempunyai pengalaman enam penggal sebagai Ahli Parlimen, juga menjadikan beliau calon terbaik untuk mengetuai portfolio baharu Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Beliau pernah membangkitkan isu berkaitan kekurangan pembangunan di Sabah ketika PBS menjadi pembangkang, dan pandangan beliau kekal konsisten sehingga hari ini.

“Beliau juga telah bekerja keras memastikan hak dan tuntutan Sabah dan Sarawak, seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dipenuhi.

“Secara amnya, beliau telah memperjuangkan hak kita, tidak kira sebagai pembangkang ataupun sebaliknya. Pengalaman luas telah mengajar beliau bahawa pendekatan konfrontasi tidak semestinya membuahkan hasil. Suasana yang kondusif adalah penting,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Christoper berkata, netizen telah melabel Ongkili sebagai pro-Putrajaya dan pengkhianat berikutan kenyataan beliau itu kepada Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Azis Jamman dan Ahli Parlimen Keningau Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan untuk tidak mempolitikkan isu pembangunan Sabah dan Sarawak sehingga menjejaskan keamanan negara.

Katanya, Ongkili sebenarnya menasihatkan Azis agar mengelak daripada menggunakan perkataan ‘jajah’, kerana ia boleh disalah anggap sebagai mencetuskan sentimen dan menimbulkan kekeliruan kepada rakyat.

“Menurut presiden (Ongkili), sekiranya perkara itu wujud, Azis harus menyokong dakwaan tersebut dengan bukti.

“Saya bersetuju dengan beliau bahawa setiap aduan perlu dibawa kepada perhatian kerajaan dengan mengemukakan laporan dan bukti kepada pejabat Ketua Menteri untuk dibentangkan semasa mesyuarat Majlis Khas MA63 (MKMA63).

“Majlis berkenaan adalah platform terbaik kerana ia dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dan dianggotai kedua-dua Ketua Menteri Sabah dan Sarawak, serta lapan menteri kanan.

“Sudah semestinya, sebarang ketidakpatuhan yang dibangkitkan akan dibincangkan supaya penyelesaian yang sewajarnya dapat dibuat,” katanya.

Kelmarin, Ongkili berkata, pemimpin khususnya wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak perlu berhati-hati apabila mengatakan dua negeri itu dijajah Putrajaya.

Katanya, wakil rakyat tidak harus ‘membakar api’ yang tidak sepatutnya timbul, sebaliknya perlu bersama-sama bagi memastikan negara ini terus berfungsi.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top