Isu pemilihan Pengerusi PH Sabah belum selesai

Sazalye-Donol-Abdullah-.jpg

Sazalye Donol (gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Isu pemilihan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah masih belum menampakkan tanda-tanda akan selesai.

Terkini Setiausaha Majlis Kepimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Sazalye Donol melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pelantikan Datuk Ewon Benedick ke jawatan itu dan menganggap jawatan tersebut secara tradisinya milik PKR.

Pelantikan Ewon, dari UPKO, yang dilakukan secara demokrasi melalui undian, menyaksikan penyandang jawatan Datuk Seri Christina Liew tewas dengan majoriti tiga undi. Namun, Sazalye mempertikaikan proses tersebut yang menurutnya tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Kami mempersoalkan kelayakan UPKO untuk memimpin kerana mereka baru sahaja menyertai gabungan ini,” tegas Sazalye ketika ditemui media selepas MPN Sabah mengadakan perjumpaan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di Sri Gaya pada Jumaat.

Beliau turut mempersoalkan ketelusan mesyuarat agung tahunan PKR Sabah pada 1 Disember yang dipengerusikan oleh wakil dari Kuala Lumpur tanpa pengetahuan mereka. Tambahan pula, permintaan untuk menangguhkan mesyuarat tersebut telah ditolak.

“Kami tidak diberi peluang untuk mengemukakan bantahan sewajarnya,” ujarnya.

Sazalye menegaskan bahawa sejarah menunjukkan jawatan Pengerusi PH Sabah sentiasa dipegang oleh PKR, memandangkan parti itu memainkan peranan penting dalam gabungan tersebut di negeri ini.

“Kuota kepimpinan PKR di Sabah bukan perkara baharu,” katanya, menyangkal dakwaan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, bahawa tidak wujud kuota sedemikian.

Beliau berkata UPKO masih baharu dalam PH dan belum cukup matang untuk memikul tanggungjawab sebesar itu.

“Bagaimana mereka boleh memimpin apabila mereka baru sahaja menyertai gabungan? Malah DAP lebih sesuai kerana mereka telah bersama lebih lama,” tambahnya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top