KIMANIS: Barisan Nasional (BN) menempelak parti pembangkang di Sabah yang menggunakan isu parti tempatan sebagai dakyah mengelirukan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata tuduhan yang mengatakan BN Sabah bukan dikuasai orang tempatan tidak berasas sama sekali kerana tiada orang luar yang menjadi pemimpin dalam gabungan itu di negeri ini.
Katanya, pembangkang cuba mengelirukan rakyat dengan membuat tuduhan tidak berasas, walaupun tahu BN dan UMNO memiliki autonominya sendiri dalam menentukan keputusan berkaitan Sabah.
“Apabila Dewan Rakyat bubar, mereka kata sokong parti ‘local’, tapi saya lihat semua orang ‘local’. Saya orang Sungai dari Kinabatangan. Begitu juga Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. Dia orang Bajau dari Tuaran.
“Saya tidak nampak Datuk Seri Shahidan Kassim (Ketua UMNO Arau, Perlis) menjadi Ketua UMNO Bahagian di Sabah. Malah, UMNO Sabah ada autonominya sendiri,” katanya pada Program Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN Zon 3 Sabah, di sini, semalam.
Katanya, jika ada yang mengatakan UMNO parti Semenanjung, mereka hanya mahu mengelirukan rakyat kerana jelas tiada orang dari Semenanjung menjadi pemimpin BN atau UMNO di Sabah.
Katanya, BN dan UMNO Sabah memiliki keunikan sendiri kerana memiliki pemimpin dan ahli pelbagai etnik di Sabah, termasuk Bajau Semporna.
Pada masa sama, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata parti yang berasal dari Sabah tidak semestinya mampu mentadbir Sabah dengan baik.
“Dulu kerajaan USNO (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu) dan BERJAYA (Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah) diikuti Parti Bersatu Sabah (PBS) tapi Sabah tidak juga maju.
“Saya bukan menyalahkan mana-mana parti tapi realitinya Sabah mulai membangun apabila BN mengambil-alih Sabah,” katanya.
Mengenai rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Bung Moktar berkata, beliau sedar ramai yang mahu supaya BN Sabah melupakan kerjasama itu dan bertanding di semua 25 kerusi di Sabah.
Bagainanapun, beliau mengingatkan bukan semua yang dimahukan dalam politik dapat diperolehi, sama seperti kerusi yang mahu ditandingi pada PRU15.
“Kita kena menangkan semua calon dari BN dan GRS kerana ini cara kita tawan Putrajaya untuk membentuk kerajaan yang stabil, makmur dan ekonomi meningkat, rakyat selamat serta selesa,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan BN Sabah akan membawa perubahan besar di negeri ini apabila BN memenangi PRU15 melalui kerjasama negeri dan Pusat.