Isu Manipulasi Harga Pakej Pelancongan Di Semporna Disiasat – Jafry

semporna.jpg
Kongsi Bersama

SEMPORNA : Pasukan penguat kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Sabah akan menjalankan siasatan berhubung aduan isu manipulasi harga pakej pelancongan di Semporna melibatkan ejen pelancongan tidak berdaftar.

Memandang serius mengenai perkara itu, Menterinya Datuk Jafry Ariffin berkata tindakan segera perlu diambil bagi mengelak sebarang masalah besar kepada industri pelancongan di Semporna pada masa depan.

“Hal ini ekoran laporan dibuat oleh Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA) baru-baru ini yang melaporkan banyak ejen pelancongan tidak berdaftar telah menurunkan harga hingga separuh daripada sepatutnya dan menyebabkan kerugian kepada pengusaha berdaftar.

“Namun, isu ini bukan semata-mata membawa kerugian kepada pengusaha berdaftar tetapi juga melibatkan isu keselamatan pelancong itu sendiri, dikhuatiri ejen tidak berdaftar ini tidak mempunyai kemahiran khususnya cara menyelamat sekiranya berlaku kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Jafry mengingatkan semua pengusaha pelancongan berdaftar supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga pakej pelancongan di Semporna memandangkan sektor itu baharu berkembang semula.

Pengerusi SPDA Suzimin Edris sebelum ini dilaporkan berkata banyak pengusaha pelancongan di Semporna menawarkan pakej pelancongan murah, bagaimanapun beliau mendakwa pakej itu diberikan pengusaha pelancongan tidak berdaftar dan merekrut pekerja tidak berpengalaman dan tidak berkemahiran  memberi rawatan kecemasan. – BERNAMA


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top