Hormat saya terhadap cara berfikir Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkurangan dengan agak banyak pada sekitar jam 10 pagi tadi selepas membaca kenyataan beliau mengenai tindakan PN membenarkan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bertanding di kerusi Parlimen Beluran.
Diketahui umum kerusi itu disandang oleh Kiandee yang memenanginya atas tiket Barisan Nasional pada PRU14. Walau bagaimanapun ia berpindah milik apabila Kiandee keluar Umno dan menyertai Bersatu.
Untuk PRU15 ini GRS dan BN dengan tertibnya telah mengagihkan kerusi-kerusi yang akan ditandingi di Sabah. Hasil rundingan itu Beluran diserahkan kepada BN, yang kemudiannya menamakan Benedict Asmat sebagai calonnya.
Tetapi Kiandee memilih untuk ‘melanggar’ persefahaman GRS-BN. Dia menawarkan diri bertanding di kerusi berkenaan walaupun bukan dengan restu GRS, tetapi dengan menggunakan tiket PN setelah mendapat restu Muhyiddin.
Tindakan PN membenarkan Kiandee bertanding sesungguhnya bukanlah berita baik yang boleh dialu-alukan. Bagi kebanyakan rakyat Sabah yang cintakan kestabilan, perpaduan GRS-BN selama ini adalah sesuatu yang amat melegakan. Sejak memerintah Sabah sejak lebih dua tahun lalu kedua-dua pihak bekerja keras untuk memelihara persefahaman demi memberikan tumpuan kepada agenda-agenda rakyat.
Yang resah gelisah melihat perpaduan itu hanyalah golongan berkepentingan dan kumpulan yang tebal kesumatnya, selain kumpulan kecil yang gagal melihat nilai dan faedah persefahaman tersebut dalam kerangka yang lebih besar.
Apabila GRS-BN terus berjaya mengekalkan persefahaman itu sehingga ke peringkat menamakan calon PRU15, ia memberi isyarat baik kepada masa hadapan Sabah seterusnya. Sebab itu jugalah tindakan Kiandee melanggar persefahaman tersebut merupakan sesuatu yang sewajarnya dikesali.
Dan lebih membesarkan lagi kekesalan itu adalah bila dia mendapat restu Muhyiddin.
Tindakan Muhyiddin bagi saya adalah satu bentuk sabotaj secara terbuka bukan sahaja terhadap GRS tetapi juga terhadap kerajaan GRS-BN Sabah dan seterusnya terhadap rakyat Sabah yang cintakan kestabilan.
Mengikut laporan media, tanpa rasa bersalah sedikit pun Muhyiddin mempertahankan tindakannya merestui Kiandee sebagai calon PN. Dia malah mempersoalkan tindakan GRS tidak mewatikan Kiandee dan tidak ‘mempertahankan’ naib presiden Bersatu itu selaku penyandang.
“Itu calon saya dan dia naib presiden (Bersatu), dia penyandang. Dia tidak dapat watikah daripada GRS. Apa yang anda buat jika di posisi saya?” itu soalan Muhyiddin kepada media.
Kalau saya di posisi bekas PM8 itu, saya akan berusaha memujuk Kiandee daripada melanggar apa yang telah dipersetujui oleh majoriti anggota GRS. Atau setidak-tidaknya saya berunding dengan GRS dan BN untuk mencari jalan keluar demi memastikan saya tidak meletakkan kepentingan individu mengatasi kepentingan rakyat.
Muhyiddin cuba menampakkan tolerannya dengan berkata (jika mahu) PN boleh meletakkan calon di lima atau enam kerusi lagi memandangkan PN menang PRN yang lalu, tetapi ia tidak berbuat demikian. Bekas perdana menteri itu mungkin terlupa satu perkara; bahawa kemenangan PN adalah kerana dokongan BN, dan sebaliknya. Jika berlaku pertembungan antara kedua-dua gabungan itu tempoh hari, keputusannya mungkin berbeza. Yang ternganga mungkin kedua-duanya.
Sikap Muhyiddin sesungguhnya memberi cerminan bahawa pemimpin Persekutuan terus gagal memahami hati nurani rakyat Sabah. Ketidak fahaman itu menyebabkan dia mencemarkan ‘jasanya’ yang memberikan status wilayah kepada Sabah dan Sarawak ketika menjadi PM dahulu. Pendiriannya dalam isu Kiandee dan Beluran hanya menyebabkan rasa curiga rakyat Sabah terhadap pemimpin-pemimpin Semenanjung terus sukar dikikis.
Mujurlah setakat ini pemimpin-pemimpin GRS-BN tidak membiarkan tindakan kurang cerdik Muhyiddin itu mengganggu-gugat hubungan mereka. Dan itulah yang sebaik-baiknya. Sabah perlu diurus dengan cara Sabah – cara yang mengutamakan akal, bukannya mendahulukan haloba.
Oleh: Tulus Budiman