KOTA KINABALU: Isu kehabisan kertas sijil kelahiran yang ditularkan di media sosial baru-baru ini adalah disebabkan oleh kelewatan penghantaran bekalan daripada pihak pengilang.
Pengarah JPN Sabah Khairrul Aminus Kamaruddin berkata kertas yang digunakan untuk mencetak sijil kelahiran adalah diimport daripada pengilang di China dan kelewatan penghantaran tiba di Malaysia adalah disebabkan bencana banjir yang melanda negara berkenaan sebelum ini.
“Hasil semakan bagaimanapun mendapati bekalan kertas terbabit sudah tiba di Malaysia dan sedang melepasi pemeriksaan Kastam 6 Disember lalu dan kini sudah diterima oleh syarikat percetakan 8 Disember lalu sebelum proses cetakan sijil kelahiran dilasanakan.
“JPN juga akan memastikan syarikat percetakan membekalkan sijil kelahiran yang kini berada dalam proses percetakan selewat-lewatnya minggu hadapan,” katanya semasa sidang media di Pejabat JPN di sini semalam.
Menurutnya bagi mengelakkan berlakunya sebarang kelewatan luar jangka, pegawai JPN yang ditugaskan akan mengambil sendiri bekalan sijil kelahiran yang selesai dicetak di Putarajaya sebelum diedarkan di kesemua Pejabat JPN seluruh Sabah.
Tambahnya pelanggan yang memerlukan surat pengesahan kelahiran daripada JPN untuk tujuan penerbangan boleh mengunjungi Pejabat JPN berdekatan untuk permohonan.
Terdahulu seorang pengguna media sosial mendakwa pihaknya terpaksa menunggu hampir sebulan untuk urusan percetakan sijil kelahiran dan perkara itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
JPN bagaimanapun menegaskan kehabisan bekalan itu adalah sejak Oktober dan bukan 10 bulan lalu.