Isu Kampung Sembulan Bukti Shafie ‘Double Standard’

anifah-aman-shafie-apdal-collage-110620-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pelik juga apabila berkempen minta undi, parti Warisan bukan main hebat, minta sana sini janji menang besar.

Tapi apabila sampai kepada kepentingan rakyat, keperluan penduduk di negeri ini, bukan main ‘double standard’ atau pilih pilih bulu.

Keutamaan diberi kepada yang pada mereka ada kepentingan, mahupun memiliki latar belakang mengikut kehendak mereka terlebih dahulu, kemudian barulah yang lain-lain.

Jadinya bagaimana Warisan mampu menjadi pentadbir atau kerajaan yang menjaga hak sama rata rakyat negeri ini?

Demikian antara soalan yang dilontarkan oleh Presiden Parti Cinta Sabah, Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau memberikan isu pemilikan serta cukai tanah Kampung Sembulan Lama sebagai contoh.

“Isu pemilikan dan cukai tanah telah lama membelenggu penduduk Kampung Sembulan Lama dan Kerajaan tidak harus ‘double standard’ apabila mempertimbangkan rayuan penduduk agar kampung mereka diwartakan sebagai sebuah perkampungan,”, katanya.

“Birokrasi di Sabah hari ini amat pelik. Adakah Kerajaan Shafie menjalankan polisi pentadbiran negeri berdasarkan kepentingan suku kaum?

“90 buah kampung seluruh negeri telah diwartakan sebagai rizab perkampungan di bawah Ordinan Tanah. Namun demikian, Kampung Sembulan Lama yang jumlah tanahnya cuma seluas 3.5 ekar masih menghadapi kesukaran untuk diwartakan sedemikian,” ujar Anifah lagi.

“Nampaknya Jo-Anna Sue hanya ada masa untuk Bukit Giling, bukan untuk penduduk Kampung Sembulan Lama dan kawasan lain,” sindir beliau.

Anifah merujuk kepada laporan berita bahawa Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah Jo-Anna Sue telah mewartakan Bukit Giling yang mempunyai kira-kira 600 penduduk etnik Dusun sebagai bukti kritikan bahawa kerajaan Shafie mengamalkan double standard mempunyai asas yang kukuh.

Kampung Sembulan adalah antara perkampungan terawal yang didiami oleh majoriti suku kaum melayu Brunei, Bajau, Idaan dan Suluk. Kawasan tersebut yang terletak di tengah bandar raya Kota Kinabalu telah wujud sejak era pemerintahan Sultan Brunei lagi.

“Berdasarkan kepada faktor sejarah dan laporan kerajaan, Sembulan Lama sepatutnya diwartakan dulu sebelum 90 kawasan tersebut. Tetapi kasihan kampung tersebut tidak ada suku sakat Shafie di kalangan mereka untuk diberi keutamaan.

“Shafie juga bukan hanya gagal melaksanakan tanggung jawabnya untuk memajukan Sabah ketika menjawat jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, tetapi turut gagal sebagai seorang Ketua Menteri,” tempelak Anifah.

Sebelum ini, ramai yang berpendapat Shafie Apdal layak dilabel ‘Menteri Semporna’ sahaja kerana tindakannya yang dilihat hanya memberi keutamaan kepada daerah berkenaan berbanding untuk memajukan negeri Sabah.

Anifah Aman turut melahirkan keprithatinan terhadap berita yang menyebut Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Negeri Sabah, Bernard Liew Chau Min sebagai berkata lebih 90,000 permohonan pemilikan tanah di seluruh negeri sedang dalam proses penelitian buat masa ini.

Menurutnya, walaupun lokasi Sembulan adalah di tengah-tengah ‘Pusat Bandaraya”, keadaan perumahan yang tidak teratur dan tanpa kemudahan asas yang bagus telah menjadikan kawasan setinggan sepertinya mengundang masalah-masalah berkaitan sampah, kebersihan, sosial, rumah haram, setinggan, dadah dan juga keselamatan.

“Sekiranya kerajaan menyelesaikan masalah setinggan di Sabah, percayalah hampir kesemua masalah sosial yang telah lama membelenggui Sabah dapat ditangani,” ujar Anifah.

Oleh yang demikian, adalah wajar untuk Shafie dan kerajaannya untuk berlaku adil dan memberi layanan yang sama kepada semua rakyat Sabah tanpa mengambil kira asal usul mereka.

“Kalau susah untuk jadi Ketua Menteri untuk semua kaum Sabah, macam mana nak lantik Shafie sebagai PM kepada negara berbilang bangsa seperti Malaysia,” kata tanya secara sinis.-BNN


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top