Isu Hak Sabah: Azis Dakwa Tengku Zafrul Keluar Kenyataan Mengelirukan

azis-jamman.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman menggesa Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan Rakyat, lapor Borneo Today.

Menurut portal berita itu, Mohd Azis mendakwa Tengku Zafrul mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan apabila memaklumkan hak Sabah untuk mendapat 40 peratus hasil kutipan cukai, yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sudah tidak terpakai.

Tegasnya, kenyataan Menteri Kewangan itu bercanggah dengan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) yang menafikan pengguguran hak Sabah itu ada dibincangkan.

“Saya ada mengutus surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat berkenaan kenyataan yang mengelirukan Dewan oleh Menteri Kewangan dalam sesi penggulungan sebelum ini.

“Beliau menyatakan dalam jawapan lisan dan sewaktu penggulungan sebelum ini bahawa 40 peratus pungutan cukai yang diberikan kepada Sabah sudah tidak terpakai.

“Kenyataan Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak pula mengatakan pengguguran itu belum dibincangkan, jadi ada percanggahan kedua-dua menteri.

“Memandangkan tiada pembetulan daripada Menteri Kewangan, saya ingin merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana ia jelas mengelirukan Dewan Rakyat,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menyifatkan kenyataan Zafrul itu melukakan hati rakyat Sabah apabila menafikan hak negeri itu, sedangkan ia jelas termaktub dalam MA63.

“Apabila menyentuh isu Perlembagaan, terutama berkaitan MA63, ia adalah perjanjian yg tidak boleh diubah sewenang-wenangnya.

“Kenyataan dibuat Menteri Kewangan secara jelas melukakan hati rakyat Sabah apabila menyatakan dengan jelas ia tidak lagi terpakai,” katanya.

Menjawab isu dibangkitkan Mohd Azis, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, memaklumkan pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat sudah menerima surat berkenaan dan sedang mendapatkan penjelasan Zafrul.

“Saya dimaklumkan Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat sudah menerimanya dan sedang mendapatkan penjelasan Menteri Kewangan, sebelum memberi jawapan,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top