RANAU: Dakwaan Ketua Pembangkang mengenai senarai daerah-daerah termiskin di Sabah perlu diberi perhatian sewajarnya untuk penyelesaian segera.
Timbalan Ketua Wiramuda Star Sabah, Kong Soon Choi, menjelaskan, isu yang dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak seharusnya terus dipandang serong sebaliknya perlu penelitian mendalam sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut.
“Mungkin beliau (Anwar) bertindak sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen dan kemukakan isu tersebut.
“Sebagai pemimpin politik dan rakyat, tiada salahnya jika kita menilai dari sudut profesional dan matang perkara yang dikemukakan itu.
“Jika ada kebenaran, kita berganding bahu untuk mendapatkan jalan penyelesaian terbaik demi kebaikan rakyat keseluruhannya”, jelas Kong.
Menurutnya, isu kemiskinan antara agenda para pemimpin politik kerajaan dari negeri Sabah untuk dituntut daripada Kerajaan Pusat dan ianya senada dengan suara pemimpin pembangkang.
Justeru, beliau melihat isu yang dikemukakan itu tidak seharusnya dipandang negatif sebaliknya pembuktian untuk menidakkan dakwaan seumpama itu perlu dilakukan supaya dapat dijelaskan kepada rakyat.
Kong turut menegaskan bahawa perbezaan ideologi politik perlu diketepikan sementara bagi mendapatkan jalan penyelesaian tuntas mengenai isu pokok yang memberikan manfaat kepada rakyat.
“Saya yakin dan percaya kepimpinan kerajaan negeri dan pusat yang ada ketika ini adalah kerajaan yang terbuka dengan teguran membina. Jangan terus melenting dengan isu yang dikemukakan pembangkang kerana rakyat tidak berminat lagi mendengar pertelingkahan politik yang masing-masing mahu menegakkan siapa salah dan siapa betul,”katanya pada Khamis.
Dalam sesi perbahasan di Parlimen pada Rabu, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang menyatakan terdapat 10 daerah dalam senarai termiskin di negara ini di mana lapan daripadanya di negeri Sabah.
Daerah-daerah yang disebutkan adalah Kota Belud, Kota Marudu, Kudat, Pitas, Telupid, Beluran, Tingod dan Nabawan.