Isu bekalan air UMS hampir pulih

bekalan-air-UMS.jpg

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor (dua kanan) meninjau satu daripada telaga tiub yang sudah siap bagi membekal keperluan air tambahan di kolej kediaman UMS, kelmarin. - Foto UMS

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Bekalan air di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hampir pulih dengan kira-kira lima juta liter air sehari (MLD) dijangka dapat disalurkan ke sistem pengagihan air di universiti itu dalam tempoh terdekat, lapor BHarian.

Akhbar itu memetik Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor sebagai berkata ketika ini Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sudah dapat menyalurkan kira-kira empat juga MLD, manakala tambahan satu juga MLD lagi menerusi lapan telaga tiub yang sedang disiapkan.

Katanya, jumlah itu boleh menampung keperluan kira-kira 22,000 warga UMS yang berada di kawasan kampus pada siang hari, termasuk pelajar yang tinggal di kolej kediaman.

“Alhamdulillah daripada analisis yang kita buat, sebanyak lapan telaga tiub yang sudah digerudi boleh menjana sekurang-kurangnya satu juga MLD, jadi cukuplah untuk menampung kekurangan bekalan air dari JANS yang sekarang ini membekal empat juga MLD kepada UMS,” katanya ditemui BHarian pada Majlis Sungkai Perdana UMS di Pusat Islam UMS, malam semalam.

Yang turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Sebelum ini, pihak JANS berdepan kesukaran menyalurkan air yang mencukupi di kampus UMS disebabkan kapasiti air dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong di Tuaran berada di bawah kadar permintaan.

Namun, difahamkan situasi itu bertambah baik dengan siapnya LRA Telibong 2 Fasa Dua pada akhir tahun lalu, disusuli penyiapan kerja penyambungan paip pada bulan lalu.

Sementara itu, mengenai perkembangan projek telaga tiub yang dibiayai dengan peruntukan RM3 juta diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu, Kasim berkata, semua enam telaga tiub sudah siap digerudi.

Katanya, ketika ini kontraktor sedang menyiapkan sistem takungan dan kerja perpaipan ke kolej kediaman pelajar dengan tiga daripadanya dijangka siap sepenuhnya seperti yang dijadualkan pada 26 Mac ini.

Baki tiga lagi, katanya, bersama dua telaga yang dibiayai menerusi peruntukan RM2 juta dari Kementerian Pendidikan Tinggi hanya dijangka siap bulan depan.

“Dua daripada telaga tiub itu akan siap pada 26 Mac ini, selain satu sudah siap siap, jadi jumlahnya ada tiga, bakinya lagi kita jangka siap sepenuhnya pada hujung bulan depan.

“Pada masa ini, semua penggerudian sudah dibuat, kandungan air juga sudah diuji dan keputusannya kita sudah tahu, jadi sekarang kontraktor sedang melaksanakan urusan membina takungan air dan kerja berkaitan, selain paip pengagihan ke kolej kediaman,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Kasim berkata, cuaca panas dan kering ketika ini turut memberi kesan kepada dua sumber air graviti yang digunakan di universiti itu ketika ini.

Katanya, kedua-dua sumber air alternatif yang dibina bagi mengurangkan krisis air yang dialami di universiti itu sebelum ini semakin susut dan dijangka kering jika kemarau berpanjangan.

Bagi telaga tiub, beliau berkata, pihaknya belum dapat menentukan sama ada kemarau boleh menjejaskan pengeluaran air bawah tanah sehinggalah semua telaga tiub terbabit sudah berfungsi sepenuhnya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top