Isu Ambalat: Kerajaan Persekutuan digesa nyahklasifikasi kandungan Triti Laut Sulawesi

kiandee.jpg

Dr Ronald Kiandee (gambar fail)

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa menyahklasifikasikan dokumen perjanjian persempadanan maritim yang ditandatangani dengan Indonesia pada Jun lalu, bagi merungkai isu Ambalat yang dibangkitkan beberapa pihak.

BHarian dalam laporannya memetic Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, sebagai berkata langkah itu dapat menjawab sejauh mana Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Indonesia, Joko Widodo, tidak membabitkan blok Ambalat.

Beliau berkata, pendedahan perjanjian itu juga dapat menoktahkan spekulasi dan kebimbangan rakyat berhubung sempadan separa laut wilayah antara dua negara di Laut Sulawesi, seperti yang dikatakan kerajaan sebelum ini.

“Kerajaan perlu menyahklasifikasikan kandungan dokumen perjanjian itu bagi menjawab spekulasi berhubung isu Ambalat, sekali gus menghentikan persoalan yang timbul ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ronald berkata, Blok Ambalat seluas kira-kira 15,000 kilometer persegi di tengah wilayah pertikaian di luar pantai Sabah itu yang dikatakan mengandungi sumber minyak mentah terbesar di dunia dan dipertahankan Malaysia sejak sekian lama, tidak boleh digadai sama sekali.

“Apatah lagi pakar maritim yang terbabit dalam usaha melindungi hak Wilayah Malaysia, memberi amaran kepada Putrajaya supaya tidak menandatangani sebarang perjanjian baharu untuk menyelesaikan pertikaian sempadan yang berlarutan dengan Indonesia.

“Mereka berkata Malaysia tidak sepatutnya berkompromi terhadap tuntutannya ke atas kawasan tertentu. Kita tidak boleh bertolak ansur atau berkompromi dalam soal kedaulatan negara, khususnya perairan Sabah yang juga membabitkan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta pelantar benua antara Malaysia dengan Indonesia,” katanya.

Justeru, Ahli Parlimen Beluran itu berkata, adalah penting untuk mendedahkan kandungan perjanjian yang dimeterai itu supaya spekulasi tidak berpanjangan, selain sebagai bukti jelas bahawa perjanjian berkenaan tidak membabitkan kawasan yang dirujuk Malaysia sebagai Blok ND6 dan Blok ND7 atau Ambalat.

Malah, beliau menekankan, laporan beberapa media baru-baru ini bahawa Malaysia dan Indonesia akan bekerjasama dalam penerokaan sumber minyak dan gas di Blok Ambalat, dengan merujuk kenyataan Ketua Pengarah Minyak dan Gas Indonesia, Tutuka Ariadji, adalah sesuatu yang merisaukan.

“Tindakan segera untuk menyahklasifikasikan kandungan perjanjian itu akan memberi pendedahan umum berhubung isu Ambalat, sekali gus merungkai keraguan serta kerisauan rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sabah,” katanya.

Isu Ambalat dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal Alian, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, baru-baru ini, dengan antara lain mendakwa Malaysia menyerahkan Blok Ambalat kepada Indonesia.

Bagaimanapun, perkara itu disangkal Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin yang menyifatkan dakwaan Assaffal itu sebagai fitnah serta mengelirukan rakyat, selain tidak bertanggungjawab dan boleh mengancam kedaulatan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top