PUTRAJAYA: Wisma Putra menyifatkan, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Sabah, Assaffal Alian, kononnya Kerajaan Pusat menyerahkan Blok Ambalat di Laut Sulawesi kepada Indonesia adalah fitnah dan mengelirukan rakyat.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, menyifatkan kenyataan yang dibuat wakil rakyat itu ketika berucap pada sidang DUN Sabah pada minggu lalu, amat tidak bertanggungjawab dan mengancam kedaulatan negara.
“Isu ini sebenarnya sudah diperjelaskan berkali-kali di mana Malaysia dan Indonesia sudah memeterai perjanjian berhubung persempadanan laut wilayah membabitkan kedua-dua negara.
“Saya nak menyatakan bahawa dalam triti Laut Sulawesi yang ditandatangani Malaysia dan Indonesia, hanya membabitkan laut wilayah dan ia tidak membabitkan kawasan dinyatakan sebagai Ambalat atau melebihi 200 batu nautika yang dikatakan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE),” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Assaffal pada persidangan DUN Sabah pada 10 Ogos lalu, mendakwa Kerajaan Persekutuan membuat keputusan bagi pihak kerajaan Sabah dengan menyerahkan sempadan Ambalat kepada Indonesia.
Dakwanya, itu di antara kesilapan dilakukan kerajaan negeri apabila tidak memperhalusi isu terbabit sehingga merugikan Sabah.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, semua rundingan membabitkan sempadan maritim negara yang dirundingi dan ditandatangani pada 8 Jun lalu ketika lawatan kerja Presiden Indonesia, Joko Widodo, dibuat secara bersama dengan kerajaan Sabah.
Tegasnya, kerajaan Sabah amat maklum mengenai triti Laut Sulawesi yang dirundingkan dan ditandatangani dengan Indonesia.
“Jadi saya minta semua pihak jangan buat kenyataan mengelirukan masyarakat malah menjadi perkara fitnah. Jangan ditambah perkara yang tidak wujud dan akhirnya mencetuskan kebimbangan rakyat.
“ADUN Tungku kena bertanggungjawab kerana kenyataan beliau jauh menyimpang, sedangkan kita belum runding mengenai kawasan yang dikatakan sebagai Ambalat itu,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat dan berhati-hati dalam apa sahaja membabitkan triti terutama membabitkan sempadan negara kerana ia dibuat berdasarkan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.
“Saya sendiri selaku Ahli Parlimen dari Sabah, terkesan dengan kenyataan sedemikian. ADUN Tungku ini seharusnya mendapatkan maklumat yang tepat sebelum membuat sebarang kenyataan.
“Walaupun kenyataan itu kini tersebar di media soial, namun disebabkan kenyataan itu dibuat dalam DUN, saya serahkan kepada kebijaksanaan ADUN serta Speaker DUN (untuk mengambil tindakan),” katanya.
Ditanya sama ada kerajaan akan menyahklasifikasi dokumen triti Laut Sulawesi, Mohamad berkata, ia masih belum dapat didedahkan buat masa ini.
“Ia masih dalam peringkat yang belum dapat disclose (didedahkan) kerana pihak Indonesia belum meratifikasinya di Parlimen mereka,” katanya.- BHarian