Isu air UMS: Elak terlalu banyak birokrasi – Bung Moktar

Bung1.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Elak terlalu banyak birokrasi dalam menyelesaikan isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS), kata bekas Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Menurutnya, tidak timbul isu jika peruntukan kilat yang diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak RM3 juta disalurkan terus kepada UMS atau kerajaan negeri melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

“Oleh kerana peruntukan tersebut merupakan peruntukan kilat yang diluluskan Anwar yang juga Menteri Kewangan, tindakan perlu dilaksanakan segera agar isu bekalan air ini dapat ditangani.

“Jika ia melibatkan pengurusan kewangan untuk melaksanakan projek ini, elak terlalu banyak birokrasi. Jika ia melibatkan soal teknikal, JANS perlu membantu agar pelaksanaan projek ini boleh dipercepatkan demi kepentingan beribu penuntut di UMS,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai respons berhubung isu air yang berlarutan berlaku di UMS sehingga menjejaskan ramai penuntut di universiti tersebut.

Bekas Timbalan Ketua Menteri itu turut berkata, kerajaan negeri dan UMS perlu bekerjasama untuk menyelesaikan isu berkenaan tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak terutama dalam soal penyaluran peruntukan.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut meminta supaya kerajaan negeri lebih cakna dan segera mengambil tindakan proaktif bagi menangani masalah bekalan air bersih di UMS.

“Semua pihak yang terlibat kena duduk semeja berbincang dan mencari titik akhir penyelesaian isu bekalan air di UMS.

“Walaupun UMS dalam bidang kuasa kerajaan Pusat namun kerajaan negeri jangan lepas tangan dan perlu cakna serta bertindak membantu menyelesaikan masalah ini.

“Tanggungjawab membina modal insan berkualiti merupakan tanggungjawab semua, kita tidak mahu membebankan kehidupan seharian penuntut UMS dengan isu bekalan air bersih sehingga menjejaskan tumpuan mereka kepada pelajaran,” katanya.

Bung yang pernah bertanggungjawab terhadap JANS berkata, penuntut di UMS tidak lagi mengharapkan janji isu bekalan air selesai dalam tempoh terdekat dengan dengan siapnya Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2, Tuaran.

“Belum pasti lagi loji itu boleh siap atau sebaliknya kerana ia melibatkan terlalu banyak kerja-kerja teknikal dan komitmen kontraktor untuk menyiapkannya.

“Penuntut UMS tidak lagi mampu mendengar pengumuman retorik kerana isu ini bukan isu baharu, ia berlarutan sejak sekian lama dan yang pasti jika ada perancangan awal masalah ini tidak akan menjadi semakin kritikal,” katanya.

Sehubungan itu, sebagai cadangan untuk membantu menyelesaikan isu bekalan air dalam jangka masa pendek, kerajaan negeri boleh membantu mengeluarkan peruntukan menyediakan tangki air sementara untuk simpanan air dan menggerakkan lori bantuan air secara berkala.

“Janganlah hantar bantuan bantuan air setakat dua atau empat lori untuk seminggu sekali sedangkan ada beribu penuntut memerlukan bekalan air bersih.

“Malah saya difahamkan masih ada pelajar terpaksa membeli air sendiri untuk kegunaan seharian mereka,” katanya. – SINAR HARIAN

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top