KOTA KINABALU: Rakyat Sabah harus menolak mana-mana individu, organisasi atau parti yang melibatkan orang tanpa kerakyatan atau bukan warganegara dalam usaha menyuarakan isu atau hak negeri, kata Datuk Mustapha Sakmud.
Pengerusi PKR Sabah yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu berkata, tiada sesiapa sepatutnya melibatkan bukan warganegara dalam usaha memperjuangkan hak negeri.
Beliau kesal dengan demonstrasi aman oleh pelajar dan penduduk Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini kerana bukan warganegara terlibat.
“Saya amat terkejut bila membaca akhbar dan ini juga diakui oleh ketua pelajar Suara Mahasiswa sendiri bahawa mereka membawa yang dia katakan sebagai ‘stateless’ (individu tanpa kewarganegaraan).
“Bagi saya, saya fikir mereka tidak sepatutnya membawa pendatang tanpa kerakyatan atau pendatang tanpa izin atau bukan warganegara untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif memperjuangkan hak rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Sambutan Pesta Kaamatan 2024 di sini hari ini.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, pihaknya tidak menghalang kumpulan mahasiswa berkenaan mengadakan perhimpunan tetapi harus mengikut saluran yang betul.
“Itu yang saya terangkan lebih awal, kena rasional dalam isu-isu perjuangan rakyat dan bukan kita menghalang mereka berdemonstrasi.
“Dari awal saya katakan dapatkan permit buatlah demonstrasi secara aman dengan penuh rasional, tapi apa dibuat mereka, boleh pula membawa bukan warganegara untuk bersama-sama meramaikan kuantiti dan ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Mustapha berkata sebarang siasatan berkaitan perhimpunan aman #KamiMahuAir Sabah harus diserahkan kepada polis untuk mengendalikannya.
Media sebelum ini melaporkan sembilan individu tidak mempunyai dokumen ditahan polis ketika menyertai perhimpunan yang dianjurkan sekumpulan mahasiswa dari UMS itu.