Isu ‘Air Masin’ Di Sandakan: TKM Panggil Pengarah JANS

shahelmey.jpg

Shahelmey (gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya akan memanggil pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) susulan dakwaan bekalan air di daerah Sandakan yang dikatakan “masin”.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee, mengenai bekalan air di kawasan itu masin dan berdepan masalah tekanan rendah.

Katanya, keluhan rakyat Sandakan diambil berat seperti disuarakan Vivian, termasuk rasa tidak puas hati terhadap maklum balas diberikan pengarah JANS berhubung isu terbabit.

Saya ada berhubung dengan YB (Yang Berhormat) Vivian semalam (kelmarin). Dia menyuarakan isu berkaitan air yang masih terasa masin dan tekanan air rendah sedang dialami di Sandakan.

Beliau juga menyatakan rasa tidak puas hati dengan maklum balas dari JANS,” katanya menurut Harian Metro semalam.

Saya akan mengadakan perbincangan dengan Pengarah JANS tengah hari ini (semalam) untuk mendapatkan status dan langkah bagi mengurangkan masalah yang sedang dihadapi,” katanya.

Menurut laporan itu, Vivian dalam kenyataan, semalam, menuntut pengarah JANS dilucutkan jawatan serta-merta dan memohon maaf atas kegagalan pengurusan serta ketidakcekapan kerja menyebabkan penduduk Sandakan terpaksa menggunakan dan meminum air masin yang didakwa berlarutan hampir tiga bulan.

Pada masa sama, beliau mendakwa bekalan air di Sandakan juga sering terputus berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud beberapa kali untuk kerja-kerja pembaikan paip.

Vivian turut mendakwa ramai pengguna yang terkesan akibat keadaan itu termasuk mengalami alahan kulit disebabkan kualiti air yang rendah, selain berdepan ketidakselesaan berikutan bekalan sering terputus.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top