Isu air, elektrik di Sabah: TKM sangkal dakwaan Bung

Jeffrey.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan menyangkal dakwaan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin bahawa pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ‘hanya pandai bercakap’ dalam menangani masalah bekalan elektrik dan air di negeri ini.

FMT dalam laporannya hari ini memetik Kitingan sebagai berkata, kerajaan GRS melakukan usaha berterusan untuk menyelesaikan masalah-masalah itu.

Katanya, kerajaan kini meneliti isu gangguan bekalan elektrik yang berlarutan di negeri ini walaupun semasa Bung berada dalam kerajaan.

Bung telah digugurkan daripada Jemaah Menteri negeri pada Januari 2023 selepas gagal dalam ‘Langkah Kinabalu’ – istilah yang diberi kepada percubaan untuk menggulingkan ketua menteri.

Kitingan berkata isu itu (bekalan elektrik) akan diselesaikan menjelang Jun.

“Dan dalam jangka panjang, kerajaan Sabah dijangka menjana lebihan kuasa daripada sumber lain seperti tenaga hidro, solar dan tenaga haba lautan,” katanya kepada FMT.

Begitu juga dengan masalah air yang bukan perkara baharu katanya, dan ia wujud ketika Bung menjadi timbalan ketua menteri. Satu-satunya perbezaan sekarang ialah Sabah mengalami kemarau akibat fenomena El Nino.

Kitingan berkata kerajaan Sabah telah mengambil langkah jangka pendek untuk menangani masalah itu dengan menyelesaikan isu kecurian air, mengagihkan air ke kampung dan pembenihan awan.

Kerajaan negeri juga telah mengambil langkah proaktif untuk melindungi sumber airnya dengan mewartakan kawasan tadahan air.

Kata beliau, langkah-langkah itu membuktikan apa yang Bung katakan adalah tidak benar sama sekali.

Pada malam Selasa, Bung berkata pemimpin GRS “hanya pandai cakap, tiada tindakan”, menuduh mereka berulang kali membuat pengumuman tanpa menyelesaikan sebarang masalah di negeri itu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top