Isu Adun Sebatik: Speaker DUN Sabah Adakan Sidang Media Hari Ini

dun.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Kadzim M Yahya akan mengadakan sidang media hari ini bagi memberi penjelasan rasmi berhubung surat peletakan jawatan ditandatangani Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Hassan A Gani Pg Amir.

Beliau berkata sidang media itu akan diadakan di Bangunan DUN Sabah pada 11.30 pagi.

“Saya akan mengadakan sidang media esok untuk memberi penjelasan rasmi berhubung perkara itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Terdahulu, surat itu diserahkan Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Loretto Padua kepada pejabat Kadzim di Bangunan DUN Sabah pada kira-kira 12.15 tengah hari semalam untuk dipertimbangkan supaya kerusi DUN tersebut dikosongkan.

Menurut kandungan surat bertarikh 26 Feb 2021 itu, selaras dengan ikrar kesetiaannya, Hassan menyerah dan memaklumkan meletak jawatan sebagai ADUN serta-merta.

Surat itu juga menyatakan Hassan faham bahawa dengan tindakan tersebut, beliau tidak layak untuk menjadi calon ADUN Sabah selama lima tahun bermula tarikh surat berkenaan.

Turut dilampirkan, surat Tetuan Adnan Puteh & Saleh yang menyebut firma guaman itu mewakili Hassan untuk menyerahkan surat tersebut.

Sebelum ini, Hassan dalam wawancara eksklusif bersama Bernama pada 25 Feb lepas mengumumkan keluar parti atas alasan Warisan masih mengutamakan politik berbanding kesejahteraan rakyat namun tidak menyatakan bahawa beliau meletak jawatan sebagai ADUN Sebatik.

Dalam wawancara itu, Hassan memaklumkan beliau kini seorang ADUN Bebas yang menyokong Kerajaan Negeri Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.

Kelmarin, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan berkata surat itu juga akan diserah kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mohd Shafie berkata parti itu sedang meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Hassan yang mengumumkan keluar parti dan menjadi ADUN bebas menyokong Gabungan Rakyat Sabah pada Khamis lepas.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada September tahun lepas, Hassan memenangi kerusi DUN Sebatik atas tiket Warisan dalam persaingan tujuh penjuru dengan memperoleh 2,665 undi. – Borneo Today

Artikel ini disiarkan pada Rabu, 3 Mac 2021

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top