KOTA KINABALU: Pasangan wakil rakyat perlu menunjukkan personaliti yang kuat dan berwibawa kerana orang ramai menganggap mereka sebagai sebahagian daripada kerajaan juga.
Presiden Mutiara GRS-BN Datin Seri Juliah Salag berkata isteri atau pasangan bukanlah dipilih oleh rakyat tetapi kerana mereka berkahwin dengan wakil rakyat bermakna orang ramai akan turut melihat dan menilai mereka.
“Malah, tanggungjawab lebih besar bagi mereka yang pasangannya berada dalam kepimpinan Kerajaan Negeri,” katanya semasa kursus etika dan pengucapan awam untuk ahli Mutiara GRS-BN, sebuah pertubuhan untuk isteri Wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.
Isteri Ketua Menteri itu berkata beliau menyedari mungkin memerlukan sedikit masa untuk ahli Mutiara GRS-BN menyesuaikan diri dengan pengetahuan baharu yang mereka pelajari daripada kursus itu tetapi beliau yakin mereka mempunyai keupayaan untuk melakukannya dengan baik.
“Kita juga harus sedar dalam era media sosial ini semua yang berlaku, sama ada positif atau negatif, sentiasa ada kemungkinan ia tular atau disebarkan oleh kumpulan lain hanya dengan hujung jari,” katanya.
Oleh itu, pengetahuan tambahan daripada kursus akan menyediakan mereka untuk kekal relevan dengan arus perdana dan tidak dilihat sebagai ketinggalan zaman.
Turut hadir Pengarah Institut Latihan Sektor Awam (Insan) negeri Mohd Yassin Ibrahim dan tiga naib presiden Mutiara GRS-BN – Datin Seri Panglima Nor Asidah Alimuddin, Datin Seri Panglima Cecilia Edwin Kitingan dan Datin Linda Ewit.