KOTA KINABALU: Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Pelaksana Program Kempen Sayangi Keluarga dan Program Tabah diketuai oleh Pengerusinya, Hajah Myrna Jimenez di rumah Yayasan Sabah, di sini semalam.
Myrna yang juga Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMDKR) menyampaikan jemputan kepada Juliah untuk merasmikan program itu yang akan diadakan di Tuaran pada 13 September 2022.
Dalam taklimat ringkasnya kepada Juliah, Myrna berkata, Program Kempen Sayangi Keluarga dan Program Tabah (Tegas Amanah Berani Adio Harmoni) dianjurkan oleh KPMDKR dan Biro Hal Ehwal Wanita PEMADAM Negeri Sabah.
Katanya, kedua-dua program itu bertujuan mewujudkan masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap warga emas, disamping memberi kesedaran dan keinsafan mengenai penyalahgunaan dadah.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Hajah Haslina Ismail yang juga Pengerusi Biro Hal Ehwal Wanita PEMADAM Negeri Sabah, Ketua Unit KPMDKR, Siti Mona Aspinah dan Setiausaha Eksekutif PEMADAM Negeri Sabah, Jossie Ansilmus.
Sementara itu, Haslina turut memperkenalkan barisan pengurusan JHEWA kepada Juliah.
Beliau juga memberi taklimat berkenaan program baharu jabatan itu iaitu Program JHEWANITA “Memperkasa Kelestarian Ekonomi Tahun 2022” yang akan diadakan tahun ini di Tuaran, melibatkan peserta terdiri daripada ibu tunggal dan Wanita B40.
Juliah yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (Mutiara GRS) menggesa JHEWA bekerjasana dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain dalam membantu memperkasa ekonomi ibu tunggal dan golongan B40 di Sabah.