Ismail Sabri Sah Tidak Pertahan Jawatan Naib Presiden UMNO

ismail-sabri-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Tanda tanya mengenai kedudukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dalam persaingan merebut jawatan Naib Presiden UMNO akhirnya terjawab apabila beliau mengesahkan tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak tahun 2018 itu.

Media melaporkan Ismail Sabri mengesahkan perkara itu ketika dihubungi dan sehingga tarikh tutup pencalonan, beliau tidak menghantar borang pencalonan.

Ahli parlimen Bera itu juga dilaporkan tidak mahu mengulas punca keputusan itu dibuat, tetapi berkata dia akan mengeluarkan kenyataan media tidak lama lagi.

Difahamkan sehingga kini, lapan pemimpin UMNO telah menyerahkan borang pencalonan mereka untuk bertanding jawatan tersebut, termasuk dua penyandangnya Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Enam pemimpin lain yang bertanding untuk jawatan itu ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan bekas Menteri besar Johor Datuk Seri Hasni Mohammad.

Turut menghantar pencalonan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Ghani dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Zambry bagaimanapun telah mengumumkan menarik diri dari persaingan itu.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top