Naib Presiden UMNO, Datuk Ismail Sabri Yaakob menafikan satu mesyuarat luar biasa melibatkan barisan menteri daripada parti itu dengan presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diadakan hari ini.
“Ini (khabar) palsu. Tiada mesyuarat seumpama itu dipanggil,” kata beliau sebagaimana dilaporkan portal Malaysiakini.
Menurut Malaysiakini, Setiausaha Kerja Umno Mohd Sumali Reduan juga memberi maklum balas serupa ketika dihubungi oleh portal tersebut.
“Tiada mesyuarat. Hanya sekadar khabar angin,” katanya.
Malaysiakini berkata, pihaknya menghubungi beberapa pemimpin parti itu selepas laporan portal Suara TV hari ini mendakwa Ismail telah menghantar jemputan kepada menteri daripada Umno untuk mengadakan mesyuarat dengan Zahid di ibu pejabat parti itu di PWTC, Kuala Lumpur pada pukul tiga petang ini.