KUALA LUMPUR: Walaupun cuma berbaki empat hari lagi sebelum pendaftaran calon pemilihan Umno 2023 ditutup, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan masih belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankan atau melepaskan jawatan Naib Presiden Umno yang disandang ketika ini.
Bagaimanapun bekas perdana menteri itu mengesahkan akan bertanding jawatan ketua bahagian Umno tanpa menamakan bahagian mana.
Ketika ini, beliau menyandang jawatan Ketua Bahagian Umno Bera, Pahang.
“Saya sudah menghantar borang pencalonan untuk jawatan ketua bahagian. Sebelum ini, saya membayangkan untuk tidak bertanding jawatan Naib Presiden, namun saya belum membuat keputusan rasmi mengenainya,” katanya lapor BH, pada Selasa.
Ditanya sama ada calon perlu mendapat ‘restu’ mana-mana pihak untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno, Ismail berkata, beliau tidak mengetahui berkenaan perkara itu.
“Saya tak tunggu ‘restu’ siapa-siapa, saya akan bertanding jika itu adalah keputusan saya. Setakat ini, saya belum buat apa-apa keputusan,” katanya.
Ismail diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU), Tan Sri Shahrir Samad, kelmarin yang berkata belum ada lagi tokoh yang mendaftar untuk bertanding jawatan itu, menjelang hari terakhir pencalonan pada 26 Februari.
Ismail berkata, ramai calon untuk jawatan itu, namun senarai yang dihebahkan di media sosial adalah tidak benar.
“Senarai di media sosial itu spekulasi semata-mata, cuma calonnya ramai. Mengapa mereka masih belum menghantar borang, saya tidak tahu.
“Untuk saya sendiri, saya masih belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak,” katanya.
Naib Presiden Umno adalah jawatan nombor tiga dalam Umno dan ketika ini, disandang oleh Ismail, Datuk Seri Mahadzir Khalid serta Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Setakat ini hanya Mohamed Khaled yang mengesahkan bertanding mempertahankan jawatannya itu.