IPT Digesa Sediakan Graduan Berkebolehpasaran Tempatan Dan Antarabangsa

hajiji-3.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menggesa Institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta menyediakan graduan berkualiti, bersifat global dan sentiasa relevan agar dapat memasuki pasaran kerja tempatan disamping berupaya menembusi pasaran kerja antarabangsa.

Katanya, graduan perlu mempunyai kemahiran berfikir secara kritis, kepimpinan, kerja berpasukan dan mempunyai karakter global.

Beliau berkata, bakal graduan juga harus bersedia dengan perubahan ini dan mengadaptasi situasi semasa, dengan mempelbagaikan kemahiran yang mempunyai nilai tambah yang tinggi.

“Ini penting supaya mereka kekal relevan untuk bersaing bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa, termasuklah kemahiran digital bersama literasi digital dan pemindahan kemahiran”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan dan melancarkan program MyCareer@MOHE Zon Borneo 2021 secara dalam talian di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Pro Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, selain bakal graduan, sektor pendidikan dan pengajian tinggi juga tidak boleh lagi bergerak seperti biasa,sebaliknya perlu memastikan graduan mempunyai kebolehpasaran dan menyediakan program bersesuaian sebagai persediaan pasaran pekerjaan.

“Dalam hal ini, Kementerian Pengajian Tinggi perlu sentiasa komited mempergiatkan pelbagai inisiatif ke arah meningkatkan kebolehpasaran graduan secara proaktif dan memastikan graduan mendapat penempatan pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan”, tegasnya.

Menurutnya, isu kebolehpasaran graduan sering dibincangkan dalam landskap pendidikan tinggi negara berikutan masalah pengangguran siswazah dan ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan.

Keadaan pandemik Covid-19 telah memberi kesan khususnya dalam aspek ekonomi sekali gus membawa kepada kurangnya peluang pekerjaan, tambahnya.

Katanya, menurut Statistik Siswazah 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), jumlah graduan siswazah yang menganggur dicatatkan seramai 202,400 orang di seluruh negara, meningkat sebanyak 37,200 graduan berbanding tahun sebelumnya seramai 165,200 graduan.

Pertambahan ini, menurut beliau, melibatkan kedua-dua pemegang Ijazah dan Diploma, yang sebahagian besarnya dalam kalangan siswazah berumur 35 tahun dan lebih.

Justeru, katanya, kadar pengangguran siswazah pada 2020 naik sebanyak 0.5 mata peratus kepada 4.4 peratus berbanding 3.9 peratus pada tahun sebelumnya.

Hajiji berkata, norma baharu akibat pandemik Covid-19 dan peralihan kepada Revolusi Industri 4.0 dijangka akan mengubah sebahagian besar landskap pasaran buruh di serata dunia, termasuklah Malaysia.

“Adaptasi kepada peralihan teknologi dijangka akan lebih cepat berlaku pasca Covid-19. Mengikut laporan The World Economic Forum 2020, permintaan pekerjaan berintensifkan tenaga buruh dijangka menurun pada masa hadapan kerana peningkatan permintaan untuk pekerjaan yang menjurus kepada penggunaan teknologi dan kemahiran baharu.

“Di Malaysia, pelbagai industri ingin memanfaatkan perkembangan pasaran digital, dan transformasi pendigitalan ini, telah mewujudkan permintaan tinggi bagi pekerja yang mempunyai kemahiran digital. Landskap pekerjaan masa depan tidak lagi terhad kepada sesuatu tempat tertentu kerana dunia sekarang bersifat tanpa sempadan dan ini memberi peluang mengatasi masalah fizikal, sosial dan geografi”, katanya.

Ketua Menteri turut menggesa pemain industri di Sabah agar menjalin kerjasama dengan IPT Awam negeri ini, seperti UMS, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Politeknik Kota Kinabalu,khusus dalam kemahiran digital.

Kata Hajiji, kerjasama ini penting bagi membantu Kerajaan Negeri melahirkan lebih ramai graduan yang berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri masa kini.

Menyentuh Program MyCareer @MOHE Zon Borneo 2021, beliau berkata, ia bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan dan kebolehdapatan kerja graduan bagi IPT di seluruh negara khususnya di Sabah.

“Program yang julung kali diadakan di Sabah, diharapkan mampu menjadi platform kepada graduan untuk mendapatkan peluang pekerjaan mengikut bidang masing- masing.

“Saya berharap program ini mampu membantu memantapkan para graduan agar lebih bersedia menghadapi cabaran di alam pekerjaan menerusi ceramah kerjaya dan aktiviti perkongsian ilmu”, tegasnya.

Hajiji berharap, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan terus menjalin kolaborasi strategik bersama Kerajaan Negeri dalam membantu menstabilkan dan menguruskan hal berkaitan pasaran buruh menerusi aktiviti perkhidmatan pekerjaan yang dilaksanakan secara berterusan.

Program MyCareer@MOHE Zon Borneo 2021 melibatkan sesi temuduga secara dalam talian selama empat hari sehingga 4 Disember ini.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top