PUTATAN: Intervensi awal akan dapat mengurangkan risiko ketidakupayaan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), terutamanya di kalangan kanak-kanak.
Oleh itu pembabitan golongan ibu bapa dan komuniti merupakan pendekatan penting bagi usaha pemulihan golongan tersebut, demikian kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Menurutnya, atas sebab itulah program Pemulihan dalam Komuniti (PDK) yang ditubuhkan oleh Kerajaan adalah sangat relevan bukan sahaja kepada kanak-kanak OKU, tetapi juga kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak OKU.
“Program Pemulihan dalam Komuniti adalah satu strategi Kerajaan untuk membangunkan komuniti setempat bagi pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial OKU.
“PDK mengambil pendekatan penglibatan aktif oleh ibu bapa, keluarga dan masyarakat setempat atau komuniti terhadap usaha pemulihan insan-insan istimewa ini.
“Golongan ibu bapa kepada anak OKU terutamanya akan memperoleh pengetahuan dan kemahiran tentang cara pengendalian kanak-kanak istimewa dengan lebih berkesan selain dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan sesama sendiri,” katanya.
Shahelmey berkata demikian ketika berucap pada Program Ziarah Ramadan Pusat Pemulihan dalam Komuniti di Pengkalan Tenterà Kem Lok Kawi, di sini, kelmarin.
Shahelmey juga berharap dengan adanya PDK ini akan dapat membantu dari segi kesejahteraan golongan OKU yang juga merupakan golongan sasar kementeriannya.
“Saya berharap PDK akan terus mengorak langkah untuk memberikan pembangunan seimbang dan kesejahteraan kepada golongan OKU dalam menjana pembangunan OKU yang produktif serta kehidupan berdikari” ujarnya.
Untuk rekod, setakat Januari tahun ini, sebanyak 40 buah PDK telah ditubuhkan di Sabah yang memberi manfaat kepada seramai 2,386 orang OKU dan melibatkan 331 orang penyelia.