Integriti Cerminan Watak Dan Peribadi – Jahid

jahid-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Integriti dalam kalangan penjawat awam adalah amat penting memandangkan setiap penjawat awam diperlukan untuk bertindak secara beramanah kepada kuasa dan tugasnya, telus, tulus, tiada konflik peribadi, mempunyai akauntabiliti dan patuh kepada undang-undang serta peraturan yang berkuatkuasa.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, integriti wujud dalam diri seseorang individu dengan adanya disiplin serta kekuatan diri yang utuh yang mencerminkan watak dan keperibadian diri yang unggul.

“Sekiranya berlaku konflik kepentingan, keutamaan harus diberikan kepada kepentingan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Minggu Integriti Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS), di Dewan KPLBS, semalam.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Samad Jambri, Setiausaha Tetap KPLBS, Datuk Norlijah Hj Danin,Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah, Datuk Karunanithy a/l Y. Subbiah, Timbalan Setiausaha Tetap (TSUT) 1 KPLBS, Aftar Nurajat, TSUT 2, Norsafi Hj Dukah, dan TSUT 3, Peter Jonu.

Katanya, punca ketirisan integriti adalah daripada dalam diri individu itu sendiri yang ada kalanya mengatasi prosedur dalaman, struktur dan sistem sedia ada.

“Sehubungan itu, bagi merealisasikan hasrat dan aspirasi negara, setiap penjawat awam perlu mempunyai displin dan kekuatan diri dalam menghadapi rempuhan dan cabaran integriti,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, berkata, objektif Minggu Integriti adalah untuk melestarikan serta memantapkan pembudayaan integriti dalam kalangan penjawat awam secara menyeluruh, berkesan menerusi program-program yang telah disusun atur.

“Ianya bertujuan untuk memberi pendedahan dan penekanan tentang implikasi buruk amalan rasuah, melahirkan warga kerja yang berakauntabiliti tinggi dalam melaksanakan tanggung jawab, memastikan kelangsungan program pemantapan integriti dan pencegahan rasuah dalam perkhidmatan awam serta meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Justeru, beliau berharap para pegawai yang hadir mahu pun mereka yang mengikutinya secara hybrid di semua pejabat-pejabat Daerah Seluruh Sabah dapat mengambil peluang untuk menimba ilmu dan seterusnya memanfaatkan sepenuhnya ilmu tersebut dalam menjalankan tugas harian mereka.

Terdahulu, Setiausaha Tetap KPLBS, Datuk Norlijah Hj Danin, berkata, pelaksanaan Minggu Integriti adalah selaras dengan keputusan Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Antirasuah Peringkat Negeri pada 27 Mei 2021.

“Pada tahun ini, Bahagian Integriti dan Governans Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah telah menetapkan tarikh pelaksanaan Minggu Integriti bagi semua Kementerian,” katanya.

Menurut Norlijah, KPLBS telah terpilih sebagai Kementerian yang pertama menganjurkan Minggu Integriti pada tahun ini.

Pada majlis tersebut, Jahid bersama para Pegawai Kanan KPLBS turut melawat ke ruang pameran sempena Minggu Hari Integriti KPLBS.

Antara pengisian program adalah bacaan Ikrar Bebas Rasuah oleh pegawai dan kakitangan KPLBS, dan perkongsian pengalaman integriti oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah, Datuk Karunanithy a/l Y. Subbiah. – SABAHitz On 9 TV

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top