TAWAU: “Insya-Allah lantikan itu juga turut memberikan tempat untuk tokoh-tokoh UMNO Sabah, termasuk dari parti PAS.”
Itu antara janji Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Perkara itu berbangkit apabila beliau ditanya mengenai hanya dua wanita dicalonkan oleh UMNO pada PRN ini,, beliau menjelaskan pemilihan calon diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan UMNO Sabah selari dengan autonomi BN Sabah.
Untuk rekod dua wanita itu ialah Chaya Sulaiman dari Wanita UMNO yang bertanding dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan dalam Parlimen Kalabakan dan Hazulizah Mohd Dani dari Puteri UMNO bagi DUN Sekong dalam Parlimen Batu Sapi.
Menurut Ahmad Zahid beliau dapat merasai kekecewaan wanita UMNO. Namun menurutnya ada beberapa beberapa jawatan lantikan yang akan diberikan kepada tokoh-tokoh negeri Sabah, jika BN dapat memenangi kerusi-kerusi yang ditandingi.
“Kita akan berunding dengan rakan-rakan di dalam Perikatan Nasional (PN) untuk memberi tempat kepada rakan-rakan yang lain di dalam parti gabungan,” katanya.
Sabah merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai Adun lantikan, di mana, Yang di-Pertua Negeri boleh, atas nasihat Ketua Menteri, boleh melantik tidak lebih daripada enam ahli untuk mengisi jawatan itu.
Dalam perkembangan yang sama Ahmad Zahid berkata BN akan mengumumkan tawaran baharu dalam manifesto yang akan diumumkan esok, sempena sambutan Hari Malaysia.
Katanya, tawaran baharu berkenaan membabitkan pembangunan, pendidikan, ekonomi dan aspek lain untuk manfaat penduduk negeri itu.
“Ia menjurus ke arah bukan hanya mengembalikan kepentingan rakyat Sabah sebagaimana yang tercatat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetapi ada perkara baharu yang pada hemat saya, menjadi satu harapan baru kepada rakyat Sabah.
“Insya-Allah tawaran baharu ini sebagaimana yang saya nyatakan untuk kita tawarkan, jika sekiranya BN bersama rakan-rakan kongsi yang lain dapat membentuk semula kerajaan di negeri Sabah,” katanya pada kempen Radu Kukusan Tanjung Batu, di sini, malam tadi.
Turut hadir Setiausaha Agung BN merangkap Penyelaras BN PRN Sabah, Tan Sri Anuar Musa, calon Wanita UMNO yang bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan, Chaya Sulaiman, dan calon DUN Tanjung Batu, Andi Muhammad Surayadi Bandi.